Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin mengutuk sekeras-kerasnya insiden maut membabitkan seorang rakyatnya yang ditembak pasukan pengganas Israel ketika konfrontasi di bandar Beita, semalam.
Abu Ayyash, 31, cedera parah di kepala selepas ditembak dengan peluru hidup oleh tentera Israel di kampung itu, kira-kira 2 pagi waktu tempatan.
Dia kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan segera, namun disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian.
Atas sebab itu, kementerian berkenaan mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengambil tindakan terhadap penjajahan kejam rejim Zionis di negara itu.
“Penindasan penjajahan terhadap rakyat Palestin yang mengambil bahagian dalam perarakan tanpa kekerasan dengan peluru hidup adalah satu jenayah, atau erti kata lain jenayah perang serta jenayah kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian itu berkata, Israel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas jenayah itu, dan menggesa jawatankuasa penyiasatan tetap dibentuk oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memulakan siasatan segera ke atas penjajahan rejim.
Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh turut mengutuk sekeras-kerasnya insiden pembunuhan Abu Ayyash dan mengucapkan takziah kepada keluarga pemuda terbabit.
– Agensi