Rejim pengganas Israel terus memperluaskan kuasa dan penjajahannya menerusi siri tindakan kejam ke atas wilayah Palestin yang diduduki.
Semalam, tujuh rakyat Palestin ditangkap ketika rejim Israel menjalankan serbuan di kawasan kejiranan Ras-al Amud di Baitulmaqdis yang diduduki.
Menurut sumber tempatan, tentera Israel memecah masuk ke kawasan kejiranan itu pada lewat petang semalam, dan menangkap tujuh penduduk Palestin selepas menceroboh kediaman mereka.
Bagaimanapun, tujuh tahanan itu dibawa ke destinasi yang tidak diketahui.
Rabu lalu, tentera Israel menahan 30 rakyat Palestin dalam serbuan menyeluruh di Tebing Barat.
Hampir setiap hari tentera Israel menyerbu rumah Palestin dan mencetuskan pertempuran dengan penduduk di seluruh Tebing Barat, kononnya mencari individu ‘dikehendaki’.
Serbuan itu turut dilakukan di kawasan yang berada bawah kawalan penuh Pihak Berkuasa Palestin (PA), dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang waran.
– Agensi