Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said percaya pintu masih terbuka untuk rang undang-undang (RUU) hibrid dibentangkan serta menggesa kaukus ahli parlimen merentasi parti memastikan RUU itu diteruskan pada sidang parlimen akan datang.
RUU berkenaan meliputi dua matlamat utama, iaitu memecat wakil rakyat yang melompat parti dan melaksanakan mekanisme pilihan raya semula.
Azalina, yang merupakan Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, berkata, MoU yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang menyebut mengenai undang-undang anti lompat parti dan RUU hibrid.
“Ramai ahli parlimen telah menandatangani MoU yang menunjukkan komitmen mereka dalam mengambil pendirian menentang lompat parti.
“Saya berharap ahli parlimen dari semua pihak akan membentuk kaukus untuk reformasi bersama bagi memastikan rang undang-undang diteruskan pada persidangan akan datang dan tiada penangguhan lagi,” katanya dalam temubual eksklusif melalui e-mel kepada Malaysiakini.
Kali pertama RUU itu diusulkan, ia ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat dengan memetik Perkara 67 Perlembagaan Persekutuan.
Azalina berkata jika ia adalah alasan rang undang-undang itu ditolak, tanggungjawab terletak pada Menteri Kewangan untuk menentukan sama ada mana-mana rang undang-undang persendirian mempunyai implikasi kewangan.
“Pada sesi lalu, saya menulis kepada Menteri Undang-undang ketika itu (Takiyuddin Hassan) mengenai perkara yang sama, meminta Menteri Undang-undang memasukkan rang undang-undang mengikut Peraturan Mesyuarat 49 pada sesi lepas. Hasilnya, rang undang-undang itu telah diterima dan dibenarkan oleh Speaker.
“Bagaimanapun, usul pertama telah tamat sebab itu saya mengusulkan rang undang-undang itu untuk kali kedua, tetapi ia ditolak semula atas alasan implikasi kewangan, yang dianggap tidak relevan oleh Menteri Undang-undang seperti dalam usul pertama yang telah diterima dan dibenarkan.
“Penolakan atas alasan implikasi kewangan bagi saya nampaknya seperti tindakan menghentikan seketika (RUU ini) oleh kerajaan,” ulas Azalina mengenai penolakan usul kedua baru-baru ini.
Dia berkata sejak notis usul pertama RUU itu sehingga kini, pengundi jelas menghantar mesej menolak budaya lompat parti dalam politik Malaysia.
“Pilihan raya negeri Melaka menjadi bukti perkara itu. Rakyat Malaysia telah melihat kesan lompat parti terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Jika kita hendak bercakap tentang kos, maka kita harus mempertimbangkan kos tidak mempunyai undang-undang anti-lompat kepada kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya.
Azalina bagaimanapun percaya kerajaan mungkin mahu menggubal undang-undang sendiri dan mungkin terdapat juga segelintir ahli politik tertentu tidak mahu budaya lompat parti dihentikan.
Bermula dengan langkah Sheraton pada Feb 2020, tindakan melompat parti memainkan peranan penting dalam kejatuhan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di Kedah, Johor, Sabah, Perak dan Melaka.
Kewajipan moral kepada pengundi
Dalam pada itu, Azalina mengakui tidak ada cara untuk melaksanakan perjanjian sebelum pilihan raya ke atas calon yang diberi kebebasan untuk berpersatuan.
Namun katanya, mereka boleh menandatangani perjanjian sebelum pilihan raya untuk tidak melompat parti sebagai kewajipan moral dan menunjukkan keikhlasan terhadap pengundi di kawasan mereka.
“Mengapa calon perlu menandatangani perjanjian sebelum pilihan raya adalah untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap anti-lompat parti, dan sebagai kewajipan moral terhadap pengundi.
“Saya gunakan analogi jual produk. Apabila kamu jual produk, kamu memberikan komitmen tertentu yang lain sebagai sebahagian daripada pakej jualan. Menandatangani perjanjian sebelum pilihan raya adalah langkah tambahan untuk mendapatkan keyakinan pengundi,” katanya.
Jelasnya, seseorang calon juga boleh mengambil langkah dengan menandatangani akuan bersumpah bahawa mereka tidak akan melompat parti.
“Jika mereka melompat, akan ada kesan undang-undang,” tambahnya.
Azalina berkata, perjanjian anti-lompat parti sebelum pilihan raya tanpa adanya undang-undang anti-lompat pada masa ini, adalah satu cara untuk memastikan seseorang calon menunjukkan mereka ikhlas dalam menegakkan moral dan politik yang baik.
“Ia juga memberi keyakinan kepada pengundi dan merupakan langkah pencegahan terhadap ketidakstabilan politik selepas pilihan raya,” katanya.
– Malaysiakini