Majlis Getah Malaysia (MRC) melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menyumbang sebanyak RM3.62 juta kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menyerahkan 10 unit mesin ventilator berjumlah RM580,000 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata bantuan kepada PPUM itu adalah bagi barang keperluan di pusat perubatan berkenaan untuk merawat kes Covid-19.
Bantuan kepada PPUM merangkumi perbelanjaan bagi peralatan perubatan seperti Bronchoscopy System, Defibrillator (Adult), Syringe Pump dan lain-lain yang berjumlah RM1.28 juta, sarung tangan getah yang berjumlah RM544,232 dan ubat-ubatan bernilai RM1.79 juta seperti Favipavir dan Tocilizumab.
Sementara bagi pembelian 10 mesin ventilator untuk KKM itu, setiap satu mesin bernilai RM58,000 tersebut bertujuan membantu mangsa yang kritikal sepanjang pandemik Covid-19 ini.
“Berikutan prestasi yang cemerlang oleh sektor getah pada tahun 2020 terutamanya melibatkan dalam industri sarung tangan getah, MRC sebagai agensi yang bertanggungjawab komited untuk bersama-sama dalam usaha kerajaan membantu ekonomi dan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumbangan kepada KKM dan PPUM itu diharap dapat membantu barisan hadapan memerangi wabak Covid-19 dan memanfaatkan rakyat Malaysia.
Selain itu, MRC baru-baru ini turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM20 juta untuk Tabung Covid-19 kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).