Wanita PKR telah mengenal pasti sembilan kerusi parlimen untuk ditandinginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang dalam usaha merealisasikan sasaran 20 ahli Parlimen daripada sayap itu selepas PRU berkenaan.
Ketuanya Fuziah Saleh berkata pada masa ini sayap itu diwakili oleh 11 ahli parlimen.
“Hasrat kita pada pilihan raya umum akan datang ialah memastikan bahawa 11 kerusi ini dikekalkan sebagai kerusi Wanita,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Wanita Nasional 2020 bersempena Kongres Nasional PKR 2020 hari ini.
Kongres bertemakan ‘Wanita Beraspirasi Untuk Memberi Inspirasi’ dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang julung kalinya diadakan secara maya berikutan sekatan pergerakan penuh seluruh negara bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Fuziah berkata bagi memastikan usaha tersebut tercapai, Jawatankuasa Pilihan Raya Wanita Pusat (JPRWP) telah mengambil beberapa langkah termasuk mengenal pasti calon berpotensi.
“Telah lama angka lantai 30 peratus kedudukan wanita di posisi membuat keputusan ini dilaung-laungkan, malah telahpun termaktub dalam perlembagaan parti. Kita tidak mahu ia hanya tinggal menjadi catatan dan retorik semata-mata, tetapi kita akan memastikan ia benar-benar ditepati pelaksanaannya,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan, berkata setakat April lepas, keahlian PKR berjumlah 1,034,093 orang, dan daripada jumlah itu, 408,038 orang adalah ahli Wanita, manakala jumlah ahli Angkatan Muda Keadilan pula 229,006 orang.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata bertepatan dengan tema kongres Wanita kali ini, ahli hendaklah istiqamah dan konsisten dalam perjuangan parti dengan sikap sederhana serta mencari titik persefahaman dan bukan eksklusif.
“Insya-Allah, pada pilihan raya umum akan datang lebih ramai lagi calon wanita akan ketengahkan. dan langkah ini bukanlah untuk mencabar kaum lelaki,” katanya.