Jabatan Imigresen menahan 156 warga asing dalam operasi bersepadu di sebuah perkampungan haram di Cyberjaya malam tadi.
Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi pada pukul 11 malam itu, seramai 202 pendatang dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan India diperiksa termasuk 12 wanita dan dua kanak-kanak, menurut Bernama.
Mereka yang diperiksa berumur antara empat hingga 50 tahun.
Khairul berkata mereka yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah sebelum dibawa ke pusat saringan Jabatan Imigresen di Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, serbuan di penempatan haram yang dilengkapi bekalan elektrik dan air yang dicuri itu dilakukan dengan kerjasama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Tenaga Kerja setelah tiga bulan melakukan risikan.
“Penempatan ini berpotensi menjadi punca penularan Covid-19 kerana tiada pematuhan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti berkumpulan,” kata Khairul.
Ketika dihubungi, pengarah kumpulan hak asasi Inisiatif Utara Selatan, Adrian Pereira menegaskan serbuan tersebut tidak memberi kesan yang besar dalam menghentikan penyeludupan.
“Bagi setiap mereka yang ditahan, ada rantaian pelaku yang bertanggungjawab yang menyebabkan pendatang ini tidak mempunyai dokumen.
“Jabatan imigresen harus memburu dalang yang terlibat sekiranya serius dalam menyelesaikan masalah ini dalam jangka masa panjang,” katanya.
Mengulas rakaman BernamaTV mengenai serbuan itu, Pereira berkata beberapa pegawai dilihat mengejar warga asing berkenaan dan kemudian menyembur mereka yang ditahan dengan sejenis bahan yang tidak diketahui.
Ketika dihubungi, Khairul Dzaimee memberitahu Malaysiakini bahawa bahan yang dimaksud adalah pembasmian kuman.
“Itu hanya Dettol, untuk pembasmian kuman.
“Malah pegawai Imigresen disembur, termasuk saya,” katanya kepada Malaysiakini.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin baru-baru ini dibidas kerana tindakan keras terhadap pendatang asing tanpa dokumen, yang dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang berkuat kuasa dari 1 Jun hingga 14 Jun.
Menjawab kritikan tersebut, Hamzah pada Khamis lalu berkata adalah mustahil untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada pendatang tanpa dokume.
Katanya, operasi tersebut bertujuan “membantu” mereka mendaftar bagi mendapatkan dokumen yang sah, mendapatkan vaksin dan kemudian diberi pilihan untuk meninggalkan negara ini atau bekerja secara sah di sini.
Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee menafikan dakwaan bahawa Jabatan Imigresen hanya mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin, namun tidak menahan atau mendakwa majikan mereka ke mahkamah.
“Dakwaan ini tidak benar kerana pada 2019, sebanyak 1,052 majikan yang telah kita hadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dengan jumlah denda RM19.3 juta,” katanya dipetik Bernama.
Katanya, tahun lalu sahaja seramai 130 majikan dihadapkan ke mahkamah, dengan jumlah denda lebih daripada RM10 juta.
Manakal sehingga bulan lalu, seramai 130 majikan dikenakan denda berjumlah RM3.2 juta.