Ahli Jawatankuasa Tamat Darurat, Khairuddin Abu Hassan berkata Yang Di-Pertuan Agong berkenan untuk menerima majlis menghadap semua ketua daripada parti-parti politik, termasuk pembangkang.
Jawatankuasa yang diwujudkan pembangkang itu sebelum ini berusaha untuk mengadap Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi memohon campur tangan baginda agar darurat ditamatkan.
Istana Negara pada April lalu memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima majlis mengadap berkenaan, namun ia akan diadakan pada tarikh dan waktu yang akan ditentukan kemudian.
Wakil dari PKR, Amanah, Muda dan Pejuang memberitahu Malaysiakini bahawa mereka masih belum menerima jemputan rasmi.
Seorang pemimpin kanan Umno yang enggan namanya disiarkan Malaysiakini berkata, dia juga ada mendengar desas desus mengenai perkara itu tetapi ia masih belum jelas.
“Ada tapi tak clear lagi, masih desas-desus,” katanya.
Sementara itu, Presiden MIC, S Vigneswaran memberitahu Malaysiakini bahawa isu untuk menghadap Seri Paduka telah dibincangkan sejak akhir bulan lalu.
“Tetapi ia ditangguhkan kerana lockdown,” katanya.
Katanya, MIC juga belum menerima sebarang jemputan rasmi.
Sumber-sumber kerajaan memerhatikan perkembangan itu dengan berhati-hati memandangkan ia boleh menjejaskan masa depan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Ini berikutan perisytiharan darurat akan tamat dalam tempoh kurang dua bulan lagi dan Muhyiddin kini memiliki majoriti tipis di parlimen.
Khairuddin yang pertama kali memaklumkan perkara itu di Twitter berkata, majlis menghadap itu untuk mempersembahkan ‘penyatuan demi negara’ kepada Seri Paduka.
Malaysia Dateline yang merupakan organ rasmi Amanah, pada awalnya memetik kenyataan presiden parti itu, Mohamad Sabu yang mengatakan akan ada “perkembangan baik” dalam masa terdekat.
Portal itu juga memetik sumber bahawa majlis menghadap yang dirancang dengan semua ketua parti politik itu akan berlangsung dari 9 Jun hingga 11 Jun.
Bagaimanapun portal itu kemudian menarik balik laporan tersebut.
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan istana setakat ini.
Sementara itu, portal Malaysianow memetik sumber berkata pertemuan yang akan diadakan 9 hingga 11 Jun ini hanyalah satu perjumpaan biasa dan bukan bertujuan membentuk kerajaan.
“Memang betul dari segi mengadap, namun dari segi tujuan ia diadakan tak betullah (seperti yang diuar-uarkan),” kata sumber itu.