Seramai 1,130,301 individu telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 di negara ini setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dr Adham menerusi akaun Twitternya hari ini berkata seramai 2,444,075 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini ialah 3,574,376 dos setakat semalam.
Beliau berkata lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 145,972 dos diikuti Sarawak (119,421); Perak (105,546); Kuala Lumpur (101,822); dan Johor (98,429).
Setakat semalam, 52.4 peratus atau 12,708,357 individu telah mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,357,323 orang.
Mengikut perancangan, fasa kedua program itu yang bermula April hingga Ogos ini akan melibatkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.
Fasa ketiga bermula bulan lepas hingga Februari 2022 pula melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu.