Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawainya dan memperdayakan ramai mangsa melalui panggilan telefon.
LHDN dalam satu kenyataan hari ini menegaskan hal berkaitan percukaian tidak akan dibincangkan melalui panggilan telefon peribadi, sebaliknya sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau emel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.
LHDN berkata menurut maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia, sebanyak 556 kes melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN telah disiasat bagi tempoh 1 Jan hingga 27 Jan lepas.
Modus operandi yang digunakan scammer ialah dengan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN, seterusnya menyatakan syarikat atau perniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan.
“Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya panggilan akan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai polis, pegawai dari Bank Negara atau pegawai dari agensi penguatkuasa yang lain dan memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi,” kata LHDN.
Mangsa seterusnya dikaitkan pula dengan kegiatan pengubahan wang haram, pengedaran dadah atau kegiatan jenayah yang lain sehinggakan mangsa menjadi panik dan mereka diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan termasuklah nombor TAC atau OTP.
Menurut LHDN, mangsa mula menyedari mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan membuat pengesahan dengan LHDN terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, emel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran.
LHDN turut mengingatkan pembayar cukai untuk memastikan bayaran berkenaan cukai seperti cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah dibuat atas nama Ketua Pengarah LHDN atau LHDN manakala cukai duti setem dibayar kepada pemungut duti setem.