DAMACUS: Sekurang-kurangnya 11 anggota tentera kerajaan terkorban dalam serangan udara Israel yang dilancarkan di tengah Syria.
Perkara itu didedahkan oleh Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Ia merupakan serangan udara pertama dilakukan oleh Israel di Syria sejak pertempuran dengan pejuang Hamas di Gaza selama 11 hari yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu, lapor agensi pemantau perang yang berpusat di Britain.
“Sekurang-kurangnya tujuh tentera dan empat anggota Pasukan Pertahanan Nasional terbunuh. Kesemua merupakan warga Syria,” kata Ketua Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman.
Menurut badan pemantau, serangan udara itu menyasarkan pangkalan tentera udara berhampiran perkampungan Khirbet al-Tin di pinggir Homs.
Jelasnya, serangan tersebut juga menyasarkan sebuah depot senjata milik gerakan Hezbollah Lubnan.
Pasukan tentera udara Israel melakukan serangan di beberapa wilayah Syria, di ibu negara Damascus serta wilayah Homs, Hama dan Latakia.
Sejak perang meletus di Syria pada tahun 2011, Israel telah melancarkan ratusan serangan udara di wilayah negara itu.
– Utusan