Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) diharap memberikan penjelasan mendalam mengenai moratorium kepada golongan M40 yang terkesan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya ramai golongan M40 termasuk usahawan dan profesional semakin tertekan dan terdesak untuk mendapatkan bantuan.
“Ramai yang mengharapkan moratorium menyeluruh seperti yang dibuat pada tahun lepas… bagi perniagaan kecil dan sederhana serta mikro, mereka tiada masalah (untuk mendapatkan moratorium), tetapi bagi M40 yang terkesan, mengalami kekurangan pendapatan, mereka juga boleh memohon dan pihak bank sudah beri jaminan bahawa ia boleh diluluskan.
“Pihak bank perlu mencari kaedah yang lebih tuntas dalam memberikan pencerahan (mengenai moratorium),” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Bicara Politikonomi – Lockdown dan Ekonomi Negara terbitan RTM pada Selasa.
Mustapa berkata bank juga mungkin boleh menyediakan helpdesk bagi kes-kes tertentu supaya mereka yang terkesan dan tidak ada pertimbangan lain dapat membuat aduan.
“Sudah pasti yang terbaik ialah moratorium automatik, yang tidak melibatkan karenah birokrasi.
“Saya berharap bank-bank akan cuba membantu golongan yang terkesan (yang tidak mendapat moratorium secara automatik) dan yang patut ditolong ini,” katanya.
Menurut Mustapa pandangan itu dibuat ketika bank di negara ini secara amnya melaporkan keuntungan yang memberangsangkan.
Mustapa berkata meskipun pemulihan ekonomi dijangka bertambah baik sejak akhir tahun lepas, namun dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, keadaan kembali parah kerana kebanyakan perniagaan tiada lagi simpanan tunai atau mendapat bantuan lanjut.
Katanya walaupun kerajaan tidak dapat memenuhi kebanyakan permohonan daripada usahawan, namun diharapkan semua pihak termasuk bank dapat terus berbincang dan mencari kemajuan dalam perkara tersebut.
“Tertakluk kepada pihak bank sama ada menerima cadangan ini atau tidak. Saya rasa mungkin Bank Negara Malaysia boleh menjadi orang tengah untuk mencari jalan bagaimana untuk memberi pencerahan agar isu yang dihadapi ini boleh ditangani dengan sewajarnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata dalam keadaan yang dinamik dan tidak menentu akibat Covid-19, sukar untuk menjangkakan situasi mengenai pemulihan ekonomi, melainkan kerajaan mempercepat proses vaksinasi.
“Kalau ada permohonan daripada syarikat-syarikat swasta untuk membeli sendiri vaksinasi sudah pasti kerajaan boleh mencari jalan bagaimana dapat mempercepat vaksinasi.
“Seterusnya boleh mengembalikan keyakinan pelabur dan ekonomi dapat cepat pulih seperti yang kita lihat di Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Australia,” katanya.
– Malaysiakini