PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron ditampar di bahagian muka oleh seorang lelaki semasa menyantuni orang ramai di kampung Tain-l’Hermitage, Drome yang terletak di selatan negara itu.
Macron menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan sangat ganas oleh orang biasa.
“Saya baik sahaja. Jangan biarkan peristiwa terpencil dengan membenarkan individu yang sangat ganas mengadakan perbahasan awam kerana sememangnya mereka tidak layak,” katanya.
Menerusi rakaman video, Macron dilihat ditampar ketika mendekati sekumpulan orang awam dengan berjalan kaki untuk berjumpa pemilik restoran dan golongan pelajar bagi melihat keadaan mereka menjalani rutin harian semasa pandemik Covid-19.
Syarikat penyiaran BFM TB dan radio RMC melaporkan, pasukan keselamatan Macron bertindak pantas menarik lelaki itu dan menjauhkan dirinya daripada Presiden.
Seramai dua orang ditangkap berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Jean Castex menjelaskan insiden itu sebagai mencabul prinsip demokrasi.
– Utusan