Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menambah lagi 2,000 pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mencapai sasaran mereka untuk memberikan 150,000 dos vaksin Covid-19 setiap hari.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata jumlah itu juga bagi membolehkan kerajaan mencapai imuniti kelompok menjelang 31 Dis tahun ini.
“Sekiranya PN serius untuk mencapai sasaran 150,000 dos harian vaksin Covid-19 bagi memperoleh imuniti kelompok menjelang 31 Disember, 381 PPV yang ada perlu ditambah sebanyak 2,000 lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim yang juga ahli parlimen Bagan menjelaskan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, meletakkan sasaran untuk memberi 150,000 dos vaksin.
Namun katanya dalam keadaan sekarang hanya 124,618 dan 133,804 dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara masing-masing pada kelmarin (11 Jun) dan semalam (12 Jun).
Lim berkata, kedudukan semasa Malaysia masih jauh untuk mencapai imuniti kelompok 80 peratus daripada 32.72 juta penduduk yang memerlukan 26.18 juta penghuninya diberikan vaksin.
Konsep vaksin ‘pergi’ ke komuniti
Khairy sebelum ini menetapkan sasaran 150,000 dos harian pada Jun, 200,000 dos sehari pada Julai dan meningkat lagi kepada 300,000 dos pada Ogos bagi mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun.
Khairy berkata sehingga kini kadar vaksinasi di seluruh negara sudah mencecah 100,000 dos sehari.
“Bermula 27 Mei lalu sebanyak 107,340 dos vaksin sehari diberikan namun selepas hujung minggu angka itu yang agak menurun akan kembali konsisten.
“Kerajaan berusaha mencapai kadar suntikan 150,000 sehari menjelang akhir bulan Jun atau lebih awal lagi,” katanya pada sidang media mingguan bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba pada 31 Mei.
Lim berkata, selain masalah bekalan vaksin satu lagi cabaran yang boleh menyebabkan kegagalan berulang dalam mencapai sasaran itu ialah jumlah PPV.
Katanya bagaimana matlamat untuk memberikan vaksin kepada 26.18 juta penduduk negara ini dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan jika jumlah PPV masih sama.
“Perlu ada penambahan sekurang-kurangnya 2,000 PPV kepada 381 yang sedia ada di seluruh negara supaya setiap PPV dapat memproses lebih cepat 10,000 orang penerima dalam tempoh kritikal ini untuk mencapai imuniti kelompok.
“DAP mendesak kerajaan PN untuk bertindak segera dengan mewartakan semua klinik kesihatan kerajaan dan klinik swasta yang sesuai sebagai PPV bagi memastikan vaksinasi tersedia, mudah diakses dan mampu dicapai semua rakyat Malaysia, terutama di kawasan luar bandar.
“Mengubah klinik kesihatan dan klinik swasta yang sesuai menjadi PPV juga akan membantu memperluas jangkauan dan akses vaksinasi ke kawasan luar bandar,” katanya lagi.
Jelasnya ramai yang tinggal di kawasan terpencil atau luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak menghadapi masalah logistik untuk pergi ke PPV yang terletak jauh dari rumah mereka.
Sementara itu Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali, mencadangkan agar kaedah pemberian vaksin diubah, iaitu mencari jalan agar ia dibawa kepada rakyat khususnya warga emas.
Dengan mengambil contoh di kawasannya, Sheikh Umar berkata, 500 suntikan dos pertama berjaya diberikan kepada warga emas dalam satu program outreach (capaian) baru-baru ini.
“Ini membuktikan bahawa proses vaksinasi perlu mengambil konsep ‘pergi kepada rakyat’ khususnya melibatkan kelompok warga emas dengan turut mengambil kira kelompok komorbid (berpenyakit) diberikan keutamaan, dan juga lokaliti luar bandar.
“Sebab itu saya berpandangan pendekatan membawa vaksin ‘pergi’ menemui rakyat ini amat membantu dan memudahkan urusan warga emas.
“Bayangkan dalam tempoh lebih kurang enam jam sahaja, 500 dos suntikan vaksin dapat diberikan dalam masa satu hari.
“Ini amat membantu khususnya dalam mempercepatkan proses imuniti kelompok di sesebuah lokaliti,” katanya dalam satu kenyataan.
– Malaysiakini