Mahkamah AS mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kerana menggunakan “saluran belakang” pada tahun 2017 untuk melobi pentadbiran Donald Trump dan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) untuk mengugurkan kes 1MDB terhadapnya.
Dalam satu kenyataan semalam, DOJ mengatakan mahkamah juga telah mendakwa penyanyi rap Amerika, Prakazrel “Pras” Michel kerana bersekongkol dengan Jho Low.
Mereka akhirnya gagal dalam usaha lobi itu dan DOJ mendakwa Jho Low pada tahun 2018 kerana bersekongkol untuk menggubah wang dari 1MDB.
Jho Low, yang masih dalam buruan, dikehendaki di Malaysia untuk perbicaraan berhubung dakwaan mencuri berbilion wang dari 1MDB. Dia dituduh bersubahat dengan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dalam skandal itu.
Sementara Michel dikenali sebagai ahli kumpulan hip-hop Fugees.
Selain kes 1MDB, kedua-duanya dituduh melobi pentadbiran Trump untuk mengekstradisi “pengkritik” yang tidak disebutkan namanya ke China.
Tuduhan ini dinyatakan dalam dakwaan terkini yang diajukan di mahkamah District of Columbia pada 10 Jun.
Atas arahan Jho Low
Menurut DOJ, Jho Low dan Michel dituduh dalam dakwaan terbaru kerana bersekongkol dengan orang lain untuk terlibat dalam “kempen lobi yang tidak didedahkan masing-masing atas arahan Jho Low dan Wakil Menteri Keselamatan Awam untuk Republik Rakyat China, untuk menggugurkan siasatan penyelewengan 1MDB dan prosiding sita yang melibatkan Jho Low dan yang lain serta bagi memastika pengkritik China dihantar kembali ke China ”.
Bloomberg melaporkan bahawa pengkritik yang dimaksud adalah Guo Wengui, seorangjutawan dan ahli perniagaan yang kini berada dalam pengasingan di AS.
Jho Low dan Michel juga dituduh bersekongkol untuk “melakukan pengubahan wang yang berkaitan dengan kempen pengaruh asing”.
DOJ mengatakan bahawa Michel dituduh melakukan kesalahan campur tangan terhadap saksi dan konspirasi untuk membuat pernyataan palsu kepada bank.
Sebahagian daripada tuduhan ini sebelumnya dinyatakan dalam aduan jenayah yang diajukan terhadap pelobi politik yang berpangkalan di AS yang dituduh secara diam-diam bertindak sebagai ejen asing Jho Low.
Jho Low berdepan antara lima hingga 10 tahun penjara untuk setiap pertuduhan jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Michel berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun untuk setiap pertuduhan jika disabit kesalahan.
Ini bukan kali pertama kedua-duanya dituduh melakukan konspirasi.
Jho Low dan Michel sebelumnya didakwa kerana bersekongkol untuk menyeleweng dana asing haram ke dalam pilihan raya presiden AS 2012.
Jho Low dituduh menyalurkan sejumlah AS$21.6 juta (RM88.73 juta) dari entiti dan akaun asing untuk dipindahkan kepada Michel yang membolehkan penyanyi rap itu memalsukannya sebagai sumbangan kempen yang sah.
– Malaysikini