Lima guru memenangi hadiah – dengan jumlah keseluruhan RM18,000 – untuk membantu mereka melaksanakan inovasi bagi menangani ‘kehilangan’ waktu pembelajaran semasa Covid-19.
Seramai 15 guru menyertai pertandingan Cikgu Kickstart yang julung kali diadakan itu. Semuanya mengemukakan idea untuk menambah baik pelaksanaan pembelajaran semasa.
Malam tadi Mohammad Aliff Othman yang berkhidmat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens di Sandakan, Sabah, diumum sebagai pemenang dan menerima geran RM6,000 untuk mengembangkan ideanya, Kampung Code.
Melalui inisiatif berkenaan pelajar ditunjukkan bagaimana menggunakan bahan daripada kertas untuk membuat kod tanpa perlukan bantuan komputer.
Ia menyasarkan sekolah di kawasan luar bandar serta komuniti kurang berkemampuan yang menghadapi kekangan kepada akses internet serta peranti digital.
Sejak 2019, Mohammad Aliff giat mengendalikan bengkel untuk lebih 1,000 pelajar dari 14 sekolah di sekitar Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.
Mengenai hadiah yang diterimanya itu, Mohammad Aliff berkata, dia bercadang untuk menggunakannya menambah baik bahan mengajar, menghasilkan video panduan, menyesuaikan kit Kampung Code untuk pelajar kelainan upaya serta menjangkau lebih banyak pelajar.
Pemenang kedua pula ialah trio guru dari Perak, Mohd Razif dari Kolej Melayu Kuala Kangsar, Mohd Izham (SK Trolak Utara) dan Mohd Azhar (SMK Simpang Beluru).
Mereka mendapat RM6,000 untuk membangunkan laman sesawang Educogator yang menyediakan pembelajaran dalam talian dan menggabungkan kandungan pendidikan dari blog, laman sesawang, podcast, YouTube dan media sosial dalam satu platform.
Untuk rekod Educogator membawa maksud kandungan “educational content and collaboration aggregator” (kandungan pendidikan dan kolaborasi pengagregat).
Dengan dana yang diterima itu mereka merancang untuk menambah baik laman sesawang, membabitkan lebih ramai pendidik bagi mencipta kandungan pendidikan dan menghasilkan aplikasi sesuai untuk telefon genggam.
Sementara itu guru SK Tebrau Bakar Satu di Johor, Ishwaar Singh, diumum sebegai pemenang ketiga dengan program Convertible English Teacher.
Melalui inisiatif itu Ishwaar menunjukkan jalan kepada ibu bapa agar menjadi pengajar anak masing-masing dengan kaedah fonik bahasa Inggeris.
Kata Ishwaar, kerana ancaman Covid-19 ramai ibu bapa terpaksa menjadi guru secara tiba-tiba apabila sekolah ditutup bagi mengelak penularan wabak tersebut.
Dengan program diilhamkannya itu guru-guru boleh mengajar satu set pembelajaran yang menyeronokkan kepada ibu bapa agar mereka boleh membantu anak masing-masing mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di rumah.
Katanya ia bukan saja dapat meningkatkan tahap penguasaan pelajar, malah ia boleh membina hubungan lebih baik di antara guru dan ibu bapa, serta ibu bapa dan anak-anak mereka.
Dengan dana RM6,000 yang diterima itu Ishwaar bercadang untuk memanfaatkannya dengan membeli satu unit pencetak, komputer tablet, buku, set mainan fonik dan bahan bacaan bagi melaksanakaan inisitif tersebut.
Turut dihargai malam tadi ialah 12 finalis lain yang menerima RM2,000 setiap seorang sebagai bantuan mereka melaksanakan projek masing-masing.
Cikgu Kickstart dianjurkan Edufication, iaitu sebuah NGO diasaskan Samuel Isaiah, seorang guru yang menjadi seorang daripada 10 pendidik terbaik dunia tahun lalu hasil dedikasinya ke atas pelajar Orang Asli.
– Malaysiakini