BAITULMAQDIS: Tentera sempadan Israel semalam menembak mati seorang wanita yang didakwa menghampiri mereka dengan pisau di pusat pemeriksaan di Tebing Barat, kata polis.
Kementerian Pihak Berkuasa Penjara Palestin mengenal pasti wanita yang maut sebagai Ibtissam Kaabneh, seorang warganya yang ditangkap dan dipenjara selama 18 bulan oleh Israel pada 2016.
Polis Israel menyatakan wanita terbabit terus berjalan ke arah pengawal di Qalandiya yang menjadi sempadan antara Israel dan Tebing Barat, meskipun berulang kali diarahkan berhenti.
Mangsa berusia 26 tahun dan berasal dari Aqabat Jabr berhampiran bandar Jericho di Tebing Barat, kata polis.
Kelmarin, remaja Palestin berusia 15 tahun dibunuh tentera Israel dengan senjata api berdekatan Beita, selatan Nablus.
Sementara itu, Khamis lalu, tiga warga Palestin dibunuh di Tebing Barat oleh pasukan keselamatan Israel dalam misi menangkap ‘pengganas’.
Keganasan di Tebing Barat memuncak sejak Mei lalu, dengan sekurang-kurangnya 30 penduduk Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel dan ketika melakukan serangan.
Serangan kembali memuncak selepas pergolakan di timur Baitulmaqdis yang diduduki Israel menyaksikan perang 11 hari antara pejuang Palestin dan Israel di Semenanjung Gaza.
Kira-kira 475,000 peneroka Israel tinggal di Tebing Barat yang menjadi tempat tinggal lebih daripada 2.8 juta penduduk Palestin.
– Bharian