Apa guna pelaksanaan darurat jika tidak dapat memanfaatkan rakyat, soal Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Kataya, dalam kesibukan membicarakan soal keperluan untuk meneruskan darurat, adalah wajar tempoh darurat yang ada kini kerajaan manfaatkan untuk kebaikan rakyat.
“Bagi Pemuda Umno, dalam tempoh sebulan setengah berbaki sebelum darurat tamat, lebih baik kerajaan manfaatkan Ordinan Darurat untuk kepentingan rakyat:
“Arahkan bank tawarkan Moratorium tanpa caj/faedah tambahan kepada semua golongan termasuk M40. Arahkan KWSP untuk rakyat akses kepada i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0
“Mengawal harga barang keperluan asas rakyat yang naik mendadak di kala pandemik. Apa guna darurat jika tak dapat bantu rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada 12 Jan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.
“Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.
“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” kata kenyataan itu.
Kini polemik mengenai darurat kembali lagi selepas tempohnya akan berakhir Ogos nanti, namun jumlah kes Covid-19 belum menurun.
Satu pertemuan Majlis Raja-Raja akan berlangsung pada 16 Jun ini antara lain memberi fokus kepada isu Covid-19.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil, berkata pengumuman kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 telah “mencekik ekonomi” dan kuasa beli rakyat.
Lebih malang lagi apabila pakej bantuan yang diumumkan kerajaan bukan saja tidak mencukupi, malah mengenepikan beberapa kelompok yang terkesan secara langsung.
“Bantuan tunai BPR (Batuan Prihatin Rakyat) tambahan hanya dihadkan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah. Namun data Jabatan perangkaan menunjukkan kumpulan B40 di kawasan bandar adalah berpendapatan bawah RM5,440.
“Jadi, mengapa Kerajaan PN (Perikatan Nasional) mengenepikan golongan berpendapatan RM5,000-RM5,439 di bandar daripada menerima BPR?
“Golongan M40 juga telah dianaktirikan dalam pakej Pemerkasa+ ini. Apakah keluarga yang berpendapatan RM6,000 tidak memerlukan sokongan kerajaan?” soalnya.
Katanya, negara memerlukan satu pakej rangsangan ekonomi yang berkesan dan menyeluruh, bukannya satu pakej kitar semula idea lama.
– Malaysiakini