Kerajaan tidak lagi wajar berdolak dalih mengadakan sidang Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya diadakan secepat mungkin.
Demikian respons Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat kenyataan bahawa Tuanku tidak menyatakan bulan berapa Parlimen patut bersidang dan hanya menitahkan diadakan secepat mungkin.
Menyanggah kenyataan itu, Mohamad menegaskan, titah dan hikmah Baginda sepatutnya perlu diterjemahkan segera. 4
“Mempolitikkan titah baginda tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini.
“Kerajaan wajar memanggil persidangan Parlimen segera. Jangan berdolak-dalih dengan alasan YDPA tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahan pula, pengumuman kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh dibuka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian, katanya.
Ini kerana, ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan.
“Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk dibuka. Ia adalah medan sebenar segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan.
“Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan sahaja tindakan antidemokrasi, tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi Raja yang bebas dan berada di atas politik,” katanya.
– Ismaweb