Bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang baru-baru ini disingkirkan selepas 12 tahun memimpin, dilaporkan enggan meninggalkan kediaman perdana menteri di Baitulmaqdis yang diduduki.
Media Israel melaporkan, dia bukan sahaja enggan menyerahkan tempat itu kepada Perdana Menteri baharu, Naftali Bennett, tetapi dia juga menggunakannya untuk bertemu dengan pegawai Israel dan asing.
Semalam, dia bertemu dengan bekas duta besar, Amerika Syarikat untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, di kediaman itu.
Undang-undang rejim Israel tidak memerintahkan perdana menteri untuk menyerahkan tempat itu kepada penggantinya sekiranya meninggalkan pejabat, tetapi bekas perdana menteri biasanya akan melepaskan tempat itu kadar segera setelah berakhir tugas mereka.
Tempat itu dahulunya menjadi tumpuan protes ribuan penduduk haram Israel setiap minggu, sehingga kadang-kadang memaksa Netanyahu meninggalkan pejabat.
Para penunjuk perasaan sering mengadakan protes berikutan dakwaannya dalam banyak kes rasuah, dasar ekonomi, dan kesalahan Netanyahu terhadap krisis COVID-19.
– Ismaweb