Pakatan Harapan (PH) Johor sedia berbincang dengan Menteri Besar Hasni Mohamad agar usaha dilakukan bagi membuka semula Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam satu kenyataan, PH Johor menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar parlimen segera bersidang selepas sesi perbincangan khas Raja-raja Melayu di Istana Negara petang semalam.
“Pada masa yang sama, PH Johor turut merafak sembah ke bawah DYMM Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dengan kebijaksanaan baginda telah memulakan inisiatif menitahkan agar satu permesyuaratan melibatkan semua Adun dan Ahli Parlimen Johor rentas parti diadakan segera bagi membincangkan hal berkaitan Covid-19 di negeri ini seawal Mei lalu.
“Menyedari Dewan Negeri sebagai platform terbaik untuk berbincang, berbahas serta mengusulkan dasar-dasar yang penting buat negeri ini, PH Johor menyatakan komitmen untuk terus berbincang dan memberikan cadangan kepada pihak YAB Datuk Menteri Besar berhubung usaha-usaha yang boleh diambil kearah membuka semula persidangan Dun Johor,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang Dun Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Semalam, Al Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Pada 25 Mei lalu, Sultan Ibrahim bertitah agar semua anggota parlimen dan Adun di Johor mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penularan wabak Covid-19 dan kesannya kepada penduduk negeri itu.
PH Johor berkata, negeri itu menjadi suri teladan apabila mesyuarat tersebut direalisasikan pada 27 Mei secara atas talian dan dipengerusikan oleh menteri besarnya sendiri.
Menginsafi titah raja-raja Melayu, PH Johor berkata setiap perbezaan tidak seharusnya mengalih fokus pada masa pandemik ini.
“Semua pihak perlu dilibatkan tanpa mengira fahaman politik bagi menggembeleng usaha, mengurus serta melawan Covid-19.
“Sepertimana ‘cara Johor’, pihak kerajaan dan pembangkang adalah rakan strategik bukan seteru politik seperti dinyatakan oleh Datuk Menteri Besar dan ketua pembangkang di negeri ini.
“Sekali lagi PH Johor menegaskan, kami akan terus menawarkan kerjasama terbaik dalam usaha melawan Covid-19 serta mengembalikan segera peranan sidang Dewan Negeri ini demi kebaikan rakyat,” tegasnya.
– Ismaweb