Lapan belas orang anak muda yang mewakili gerakan Undi18 memperoleh kebenaran mahkamah untuk meneruskan permohonan bagi memaksa kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang Julai tahun ini.
Kebenaran mahkamah itu diberikan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Kamal Md Shahid hari ini.
Ini bermaksud mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar merit semakan kehakiman melalui penghujahan semua pihak.
Pada 2 April lalu sekumpulan belia memfailkan permohon bagi mendapatkan beberapa perintah mahkamah susulan tindakan responden menangguhkan pelaksanaan Undi 18.
Undi18 ialah inisiatif untuk menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun dan bagi membolehkan pendaftaran pemilih automatik dilakukan.
Penangguhan itu menyebabkan 1.2 juta remaja berumur 18-20 tahun tidak dapat mengundi jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.
Pada 2 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan Undi18 dalam masa terdekat pada tahun ini.
– Malaysiakini