Melabel Pakatan Harapan (PH) sebagai “melampau terhadap Islam” Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini tampil dengan pandangan mengharamkan orang ramai bersama gabungan tersebut.
Dalam catatan terbarunya di media sosial hari ini Abdul Hadi membuat ulasan berkenaan pesanan Nabi Muhammad SAW kepada orang beriman agar bijak menghadapi cabaran sama ada daripada kawan atau lawan.
“Hanya beberapa hari kerajaan PH berkuasa, sudah terserlah sikap mereka yang melampau terhadap Islam dan kepimpinannya sedangkan ia suatu perkara yang wajib dipertahankan dengan perintah Allah SWT,” katanya tanpa merujuk atau memberikan sebarang contoh bagi menyokong dakwaan tersebut.
Bagaimanapun semasa PH menjadi kerajaan antara isu utama yang menjadi bahan kritikan pembangkang ketika itu ialah tragedi kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim serta tuntutan New Delhi agar penceramah, Zakir Naik, diekstradisi.
Duta khas perdana menteri bertaraf menteri itu juga memberi nasihat kepada orang muda berkenaan keadaan dalam negara.
Katanya untuk generasi muda yang tidak menyaksikan peristiwa lalu, mereka tidak boleh mudah terpengaruh dengan media tanpa sempadan kerana didakwanya akan membawa penyesalan di dunia dan akhirat.
“Cukuplah perkara besar ini menjadi pengajaran. Jangan ditipu untuk kali kedua laksana disengat dari lubang yang sama, dan haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi,” katanya.
Sifat diharamkan nabi
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan mengenai perlunya parlimen bersidang secepat mungkin, manakala Majlis Raja-raja Melayu menyokong pendirian berkenaan.
Majlis Raja-raja juga menyatakan keprihatinan terhadap beberapa situasi dalam negara, termasuk pentingnya diwujudkan kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat, selain mengarahkan suhu politik yang sedang panas diredakan.
Untuk rekod PH menjadi kerajaan melalui PRU ke-14 yang diadakan pada 2018. Bagaimanapun kerajaan itu berjaya diruntuhkan 22 bulan kemudian melalui tindakan sebahagian ahli parlimen serta salah satu komponennya berpaling tadah meninggalkan gabungan berkenaan.
Mereka kemudian mendapat sokongan ahli parlimen BN sebelum disokong PAS serta parti dari Sabah dan Sarawak.
Untuk rekod, kecuali Bersatu, tidak ada parti yang ada dalam kerajaan sekarang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan melalui PRU lalu.
Kata Abdul Hadi PH mendapat kemenangan dalam PRU ke-14 kerana orang ramai tertarik kepada janji yang diikrarkan termasuk sesetengahnya yang mustahil dilaksanakan dalam tempoh singkat.
“Apabila tindakan mereka ketika menjadi kerajaan dipersoalkan, semuanya dituding kepada kerajaan yang terdahulu (BN).
“Apa yang dibisingkan oleh mereka ialah perebutan jawatan perdana menteri yang menunjukkan perangai bernafsu yang rakus, sifat yang diharamkan oleh Rasulullah SAW,” katanya.
Lebih membahayakan kata Abdul Hadi terdapat dalam kalangan PH yang sedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja termasuklah musuh agama, umat dan negara sehingga sanggup bersama dengan golongan yang nyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan raja.
Bagaimanapun dia tidak menjelaskan dengan lebih lanjut pihak yang dimaksudkannya itu.
– Malaysiakini