Tiga pekerja pembinaan dilaporkan cedera selepas serpihan konkrit lebuh raya sedang dalam pembinaan runtuh berhampiran Plaza Tol Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) susur keluar Kota Damansara, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.14 malam berhubung kejadian tersebut.
Katanya, susulan itu, sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketiga-tiga mangsa merupakan lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun yang sedang melakukan kerja di bawah struktur itu.
“Berdasarkan laporan awal, runtuhan konkrit yang sedang dalam pembinaan itu telah runtuh dari ketinggian 12 meter,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
Norazam berkata, kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk menerima rawatan.
– Ismaweb