Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mempersoalkan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam penglibatan komuniti mereka untuk mengekang wabak Covid-19.
Ia selepas ujian saringan percuma yang dianjurkan pejabatnya di Muar, Johor dihentikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) semalam.
“(Menteri Kesihatan) Dr Adham Baba, apakah ada arahan khusus untuk ujian saringan komuniti sekarang?
“Program ujian komuniti (pandu lalu) kami dihentikan oleh pihak berkuasa pagi ini, (serta) mengancam membatalkan lesen doktor. Ini mengarut,” ciapnya di Twitter semalam.
Semalam, Sin Chew Daily melaporkan polis dan pegawai kesihatan menghentikan ujian saringan secara pandu lalu itu, yang hanya mengenakan bayaran RM30 untuk kit RTK-Antigen.
Menurut laporan itu lagi, tindakan itu atas kebimbangan ia akan menarik orang ramai dan seterusnya mencetuskan penularan wabak.
Bagaimanapun, laporan itu memetik Adun Bentayan Ng Yak Howe sebagai berkata, program serupa yang dijalankan wakil rakyat di Johor Bahru dan Kulai tidak dihentikan.
Dalam pada itu, Yeo berkata berbanding “mengganggu” program ujian komuniti, pihak berkuasa sepatutnya memberi tumpuan kepada klinik dan hospital swasta yang mengenakan bayaran lebih RM100 bagi individu yang ingin melakukan ujian Covid-19.
Ketika dihubungi, bekas menteri Pakatan Harapan itu menggesa Adham mengeluarkan garis panduan yang jelas berhubung ujian komuniti Covid-19 secara massa.
“Ini kerana setiap pusat kesihatan daerah diberi kuasa memutuskan sama ada mahu membenarkan ujian massa atau tidak, tetapi dikatakan jabatan kesihatan negeri menghalang ujian seumpama itu.
“Pegawai bimbang program seperti ini menarik orang ramai, tetapi bagaimana program pandu lalu boleh menyebabkan perkara itu?
“Selain itu, kakitangan yang membuat saringan juga mengenakan peralatan perlindungan peribadi (PPE),” katanya lagi.
– Malaysiakini