Tindakan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia mempromosi lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik ( LGBTQ ) amat tidak sensitif terhadap rakyat Malaysia yang menolak budaya songsang berkenaan.
Kedutaan itu di laman Facebook, semalam memuat naik poster Presidennya, Joe Biden dengan berlatarbelakangkan warna pelangi sebagai simbol kepada budaya seks songsang.
Biden dipetik sebagai berkata: “Semua manusia perlu dilayan dengan hormat dan bermartabat dan harus boleh hidup tanpa rasa takut tidak kira siapa mereka atau siapa yang mereka cintai”.
Kedutaan itu turut menggunakan tanda pagar #TetapBangga, #SelaluBangga dan #PrideMonth.
Menyelar tindakan tersebut, Pengerusi Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, keterbukaan kedutaan AS mempromosikan sesuatu yang jelas tidak sesuai dengan norma Malaysia sebegini, bakal mengundang situasi lebih parah di masa hadapan.
“Hari ini mereka mempromosi LGBT, esok mereka akan lebih berani dengan mempromosi normalisasi Israel.
“Tolak LGBT, tolak normalisasi Israel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, pada tahun 2018, Kedutaan AS di Malaysia pernah menyuarakan sokongan kepada dua aktivis LGBTQ di mana potret mereka diturunkan dari Festival George Town yang berlangsung di Pulau Pinang.
Melalui Instagramnya, kedutaan itu memaparkan gambar Nisha Ayub memegang Jalur Gemilang yang diturunkan dari pameran ‘Stripes and Strokes’, dengan berkata: “Gambar memberi seribu pengertian, tetapi kata-kata lebih kuat.”
– Arrahmahnews