Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan kerajaan sekadar indah khabar dari rupa dan belum tentu dapat menyelamatkan rakyat dalam situasi sukar ketika ini, kata Anwar Ibrahim.
Jelas Presiden PKR itu, pelan yang diumumkan kerajaan terdapat sedikit penambahan dan dilihat lebih kepada menyelamatkan syarikat besar dan institusi kewangan.
“Bunyi besar RM250 bilion, suntikan sebenar RM10 bilion, kerana yang lain, i-Sinar duit rakyat, moratorium duit dengan bank.
“Moratorium pun belum pasti, perlu pergi ke bank buat perjanjian baru, faedah mesti dibayar. Ini semua bukan penyelesaian ini nak selamatkan syarikat-syarikat besar, bank.
“Kalau benar nak menyelamatkan rakyat kena susahlah sedikit, tak kan bank boleh jatuh? Untung berbilion,” katanya dalam sidang media secara atas talian yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.
Pada 28 Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan satu lagi pakej bantuan bernilai RM150 bilion yang diberi nama “Pemulih”, singkatan kepada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi.
Ini pakej terbesar kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak pakej Prihatin bernilai RM250 bilion yang diumumkan pada Mac tahun lalu ketika negara mengalami kuncitara (lock down) buat pertama kali.
Pakej ini merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.
Pakej terbaru diumumkan berdasarkan keadaan kuncitara yang dijangka berlanjutan kerana kes harian Covid-19 masih tinggi.
Keseluruhan kuncitara bermula 1 Jun lalu sepatutnya berakhir pada 14 Jun tetapi dilanjutkan hingga 28 Jun dan sekarang akan berterusan sehingga kriteria penamatannya dicapai.
Dalam pada itu Anwar berkata, bantuan kewangan yang dilaksanakan melalui program Pemerkasa dan PemerkasaPlus yang berjumlah RM340 bilion dan Pemulih berjumlah RM150 bilion, adalah suatu yang dialu-alukan.
“Malangnya program-program ini dilaksanakan bawah anggapan bahawa ia sudah mencukupi untuk mengatasi dan melangkaui kemelut Covid-19 yang berpanjangan.
“Ia juga dibuat di bawah aggapan bahawa pertumbuhan ekonomi akan bergerak semula dengan bentuk V-shape recovery. Ini adalah anggaran yang dibuat sewaktu pembentangan bajet 2021 pada Oktober tahun lepas,” katanya lagi.
Anwar berkata, jumlah bantuan yang diumumkan kerajaan dalam pelan yang dikemukakan sekadar angka-angka kayangan.
“Telah pun saya jelaskan bahawa ia merupakan angka-angka kayangan, imaginarynumbers.
“Anggaran pendapatan kerajaan persekutuan adalah jauh lebih meleset daripada apa yang dijangkakan,” tambahnya lagi.
– Malaysiakini