PAS Perak menafikan gambar di media sosial yang menunjukkan bahagian luar pejabatnya telah diconteng dengan kata-kata kesat.
Ketua Penerangan PAS Perak Hafez Sabri dalam kenyataan hari ini menyifatkan gambar yang dimuat naik di Twitter itu sebagai “provokasi murahan dan fitnah jahat”.
“Berdasarkan gambar terkini pada 3 Julai 2021 hari ini keadaan pejabat Perhubungan PAS Negeri Perak masih dalam keadaan baik dan aman.
“PAS Perak melahirkan rasa kesal di atas tindakan yang tidak bertanggungjawab pihak tertentu,” katanya di Facebook.
Dia juga menggesa orang ramai agar menolak sebarang perbuatan fitnah dan berpolitik secara matang dan sejahtera.
Terdahulu, satu ciapan akaun Twitter menunjukkan sekeping gambar yang menunjukkan bahagian luar pejabat PAS Perak diconteng, dan mendakwa ia berlaku malam tadi.
“Pejabat PAS Perak diconteng oleh perbuatan vandalisme malam tadi. Kejadian disedari oleh kakitangan pejabat awal pagi tadi,” menurut ciapan tersebut.
Ia juga mengaitkan perkara itu dengan sejumlah pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan kempen mengibarkan #BenderaPutih yang kini mendapat perhatian ramai pihak.
– Malaysiakini