Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencadangkan Rais Yatim dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) yang baru bagi menggantikan Takiyuddin Hassan.
Dia mencadangkan Takiyuddin bertukar jawatan rasmi dengan Rais selaku yang di-Pertua Dewan Negara untuk memastikan “kesetiaan dan ketaatan” kepada titah Agong bagi mengadakan sidang parlimen menjelang bulan ini.
“Dengan Rais sebagai Menteri De Facto Undang-Undang yang bertanggungjawab menjaga parlimen, dia akan melakukan kerja yang jauh lebih baik untuk memastikan kelancaran pembukaan semula parlimen bagi membahaskan kedua-dua kegagalan kerajaan PN dalam mengurus krisis Covid-19 dan Ordinan Darurat seperti yang dititahkan oleh Agong.
“Negara memerlukan pemimpin yang komited untuk menegakkan undang-undang bagi kepentingan rakyat, bukan ahli politik yang hanya berminat melindungi faedah dan keistimewaan jawatan mereka,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Rais sebelum ini berpendapat parlimen patut bersidang pada bulan ini dan Ordinan Darurat 2021 memberi kuasa kepada Agong untuk memanggil parlimen bersidang – satu pendirian yang dibantah oleh ramai peguam.
Manakala Takiyuddin pula berkata sidang parlimen akan diadakan pada September, setelah darurat ditamatkan.
Namun, Takiyuddin semalam memberi jaminan parlimen akan bersidang pada bulan ini dan jemaah menteri akan memuktamadkan perkara itu pada mesyuarat Rabu depan.
Agong sebelum ini bertitah bahawa parlimen harus bersidang “secepat mungkin” untuk membahaskan proklamasi darurat dan ordinan darurat selaras dengan Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Artikel tersebut menyebut bahawa proklamasi dan Ordinan Darurat boleh dibatalkan jika parlimen memilih untuk berbuat demikian.
Pakatan Harapan menganggap ini merupakan isyarat bahawa Agong mahu Dewan Rakyat bersidang sebelum darurat tamat pada 1 Ogos.
– Malaysiakini