Jabatan Kesihatan Selangor menjelaskan bahawa adalah “hampir mustahil” untuk berlaku suntikan tanpa vaksin diberikan kepada penerima.
Penjelasan itu dibuat susulan tindakan seorang penerima vaksin membuat laporan polis dan mendakwa dia disuntik dengan jarum suntikan kosong di Hospital Banting pada Selasa lalu.
Dalam satu kenyataan malam tadi, Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman berkata vaccinator yang terlibat terdiri daripada kakitangan yang bertauliah dan terlatih serta dilantik secara rasmi oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Katanya, sekurang-kurangnya dua kakitangan terlibat dalam tugasan pemberian vaksin di setiap stesen vaksin.
“Seorang kakitangan bertindak sebagai vaccinator manakala seorang lagi sebagai penyedia vaksin dan sebagai saksi semasa pemberian vaksin dilakukan.
“Penyedia vaksin akan membuat persiapan vaksin dan menyedut vaksin ke dalam picagari khas mengikut sukatan yang ditentukan dan menyerahkannya kepada vaccinator atau meletakannya di dalam wadah khas yang berdekatan dengan vaccinator. Penyedia vaksin bertanggungjawab memastikan tiada picagari kosong yang belum berisi vaksin berada di atas troli vaccinator.
“Sebelum vaksin disuntik, vaccinator bertanggungjawab memastikan jenis vaksin yang akan diberikan kepada penerima berdasarkan tagging yang dibuat semasa proses pendaftaran,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Sha’ari, prosedur suntikan vaksin perlu dilakukan mengikut kaedah piawaian suntikan intramuscular.
Tambahnya, setelah suntikan diberikan, picagari kosong akan dibuang ke dalam sharp bin (bekas alatan tajam) yang terletak berdekatan vaccinator.
“Dengan pematuhan terhadap langkah-langkah di atas adalah agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut secara langsung apakah prosedur tersebut diikuti dengan ketat ketika vaksin diberikan kepada pengadu.
Semalam, seorang lelaki dari Kapar, Klang dilapor membuat laporan polis selepas mendapati dia diberi “suntikan kosong” vaksin Covid-19.
Menurut Simon Ng, dia hanya menyedari kejadian itu setelah menyemak rakaman video ketika proses suntikan vaksin dijalankan.
Dia kemudian membuat kepada kakitangan bertugas yang kemudian bersetuju memberi suntikan kedua tetapi dengan syarat dia tidak boleh mengambil gambar atau video ketika suntikan kedua dilakukan serta perlu memadam video yang telah dirakam.
Ng bagaimanapun berjaya menyimpan fail video asal secara rahsia sebagai bukti dan menghapus semua rakaman lain, termasuk yang ada di album fotonya, ‘recycle bin’ dan mesej WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor mengesahkan telah menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
– Malaysiakini