TINJAUAN | Kekuatan ekonomi penduduk di Pulau Perhentian, Terengganu, sebelum ini bergantung pada kerancakan sektor pelancongan.
Namun pandemik Covid-19 membuatkan pulau itu ‘terkulai’ dan ‘kelemasan’.
Lebih 2,000 penduduk di Kampung Pulau Perhentian kini hidup dengan ‘apa yang ada’ selain terpaksa mencari alternatif demi menghasilkan mata pencarian.
Tinjauan Malaysiakini mendapati kawasan peranginan terkenal di mata dunia itu sunyi sepi. Jelas kelihatan bot-bot hanya menjadi hiasan di tepian pantai dan dibiar teroleng-oleng di sekitar jeti.