Parti-parti dalam kerajaan kerajaan Perikatan Nasional hari ini memberi amaran supaya jangan “menyalahgunakan” sidang parlimen akan datang.
Peringatan itu dikeluarkan pada satu kenyataan bersama tanpa Umno.
Kenyataan ketua penerangan parti komponen PN itu merangkumi semua rakan Umno dalam BN, iaitu MCA, MIC dan PBRS.
“Kami berharap sidang parlimen khas ini dijadikan medan membincangkan kepentingan rakyat dengan sepenuhnya, dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Kenyataan itu ditandatangani semua ketua penerangan parti komponen kerajaan PN (Bersatu, PAS, SAPP, Star, Gerakan), BN (MIC, MCA, PBRS), GPS (PBB, PRS, PDP, SUPP) dan PBS.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 7 Julai mengumumkan partinya menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Peguam Negara Idrus Harun berkata Muhyiddin boleh terus menjadi perdana menteri kerana majoritinya tidak dapat ditentukan oleh kenyataan parti.
Sebaliknya, dia berkata perkara itu mesti ditentukan oleh ahli parlimen, yang menjadikan perhatian tertumpu pada sidang parlimen 26 Julai akan datang.
Dengan sokongan Umno, Muhyiddin dianggarkan mempunyai majoriti empat ahli parlimen.
Umno mempunyai 38 ahli parlimen tetapi tidak semua menyokong keputusan parti mereka untuk menyingkirkan Muhyiddin.
Antara penyokong kuat Muhyiddin dalam Umno ialah Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob, yang dilantik oleh Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri beberapa jam sebelum Zahid mengumumkan keputusan Umno itu.
Seorang lagi penyokong kuat Muhyiddin ialah Ahli Parlimen Umno Sembrong Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai menteri kanan.
Ketua-ketua penerangan PN, pada kenyataan mereka hari ini, mengucapkan tahniah kepada Ismail dan Hishammuddin atas perlantikan mereka.
Mereka juga mengalu-alukan persidangan parlimen yang akan datang sejajar dengan saranan titah Yang Di-Pertuan Agong supaya sidang parlimen diadakan secepat mungkin.
“Kami menyokong perlantikan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kedua-dua tokoh ini adalah pemimpin berpengalaman serta berkebolehan untuk membantu Tan Sri Muhyiddin memimpin negara.
“Kami mendoakan agar perlantikan ini akan memperkukuhkan lagi kerjasama erat yang sedia ada antara parti-parti dalam kerajaan, dalam kerangka kita sebagai sebuah kerajaan yang telus, bebas rasuah, dan berintegriti,” katanya lagi.
– Malaysiakini