Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah hari ini menggesa media pelbagai medium iaitu stesen televisyen, radio, akhbar dan platform dalam talian untuk terus mempergiat usaha mengenal pasti serta membongkar berita palsu.
Dia juga berharap media mempergiat usaha meningkatkan kesedaran mengenai ancaman berita palsu dan langkah bagi mencegah perkara tersebut.
Menurutnya, terdapat peningkatan ketara penyebaran maklumat atau berita palsu kebelakangan ini sama ada mengenai pandemik Covid-19, vaksinasi, kesihatan, sosial mahupun politik dan keadaan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan orang ramai.
Kata Saifuddin ia juga boleh menjejaskan usaha membanteras penularan Covid-19 dengan berkesan.
“Dalam konteks penyebaran maklumat, pihak media bukan sahaja berperanan melaporkan berita sahih dan tepat, tetapi melindungi rakyat daripada berita palsu yang berpotensi menggugat usaha kerajaan memerangi Covid-19 serta memelihara kesejahteraan dan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata pihak media memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam memerangi berita palsu sejak bermula krisis tersebut.
Katanya kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta beberapa agensi bertindak proaktif mengekang peningkatan berita palsu terutamanya dalam konteks pandemik Covid-19.
Antaranya, menurut ahli parlimen Indera Mahkota itu, pemantauan oleh Pasukan Respon Pantas sejak Mac tahun lepas menangkis 464 berita palsu.
Menurut Saifuddin, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 turut dikuatkuasakan mulai Mac 2021 bagi mencegah dan mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu tentang Covid-19 dan kesihatan.
“Saya yakin terhadap kematangan pemikiran masyarakat dalam membuat penilaian berita palsu. Marilah bersama-sama mencegah berita palsu,” katanya.
– Malaysiakini