Sebuah NGO membidas kerajaan kerana mengeluarkan SOP yang disifatkan tidak realistik serta menyukarkan pengamal perubatan tradisional dan komplimentari (TCM) sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam satu kenyataan hari ini, TCM Rights Watch menyatakan rasa kecewa terhadap syarat yang dikenakan terhadap operasi TCM dalam pelbagai fasa PPN.
“Kami tak setuju dengan langkah-langkah tambahan yang tidak realistik seperti yang diumumkan oleh kerajaan dan kami mendapati sekatan ini akan menimbulkan kesulitan bagi kami dan tidak menghormati profesion ini,” kata kumpulan itu.
Pengendali TCM diarah menghentikan operasi semasa perintah kawalan pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKDP), tetapi mereka dibenarkan beroperasi semasa Fasa 1 PPN.
Bagaimanapun, pengamal dan pusat TCM hanya boleh mengadakan konsultasi dalam talian untuk pesakit mereka semasa fasa ini.
Perkhidmatan pesakit luar hanya dibenarkan di negeri-negeri yang telah memasuki Fasa 2.
Konsultasi tatap muka boleh dilakukan dengan penjarakan fizikal semasa fasa kedua, manakala lawatan ke rumah dan rawatan yang melibatkan kontak fizikal dibenarkan pada Fasa 3.
Sektor ini boleh beroperasi tanpa sekatan ketika Fasa 4.
“Fasa 1 PPN membolehkan kita beroperasi, tetapi hampir sama dengan tidak membenarkan kami kembali bekerja kerana kami hanya boleh melakukan kontak fizikal dengan pesakit ketika kita memasuki Fasa 3.
“Adakah doktor haiwan, doktor gigi dan mereka yang terlibat dalam terapi fizikal bersetuju memberikan diagnosis dalam talian untuk merawat pesakit mereka?” soal kumpulan itu.
– Malaysiakini