Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak mungkin akan meluluskan penggunaan ubat antiparasit Ivermectin dalam untuk merawat pesakit Covid-19.
Menurut Berita Harian semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia mungkin diluluskan selepas ada bukti kukuh tentang keberkesanan dan kesan sampingannya.
“Sekarang ini kita boleh gunakan Ivermectin dalam negara dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah meluluskan penggunaan ‘off label’ seperti digunakan dulu untuk ubat anti malaria dan HIV.
“Penggunaannya tidak didaftarkan, tetapi dibenarkan sehingga kita ada bukti kukuh,” katanya seperti dipetik.
Penggunaan ‘off label’ bermaksud ubat tersebut digunakan untuk merawat sesuatu yang tidak tersenarai pada labelnya.
Pada masa ini, Ivermectin digunakan di Malaysia dalam perubatan haiwan, terutama dalam merawat kecacingan.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata KKM sedang menjalankan kajian untuk mengenal pasti keberkesanan dan kesan sampingan ubat itu apabila digunakan terhadap pesakit Covid-19 dalam Kategori 4 dan 5.
“Ivermectin adalah ubat antiparasit yang dikenal pasti dari tahun 70-an dan ia ada kesan antiviral. Saya sendiri sekitar empat tahun lalu mengesyorkan penggunaannya untuk (merawat) denggi.
“Saya kemukakan cadangan ini kerana Ivermectin ada kesan antiviral. Kita sudah menjalankan kajian di Thailand dan kajian permulaan menunjukkan untuk mendapatkan kesan antiviral ini, dosnya amat tinggi,” katanya lagi.
Pada 6 Jun lalu, Noor Hisham berkata KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) telah memulakan ujian klinikal melibatkan pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawahnya.
” Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat tidak meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat dan mencegah Covid-19 pada manusia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal di mana pesakit perlu dipantau dengan teliti oleh doktor pakar dan penyelidik berpengalaman untuk menjamin keselamatan serta keberkesanan,” katanya ketika itu.
– Malaysiakini