Menerusi tangkap layar hantaran Instagram yang dikongsi Yeoh itu, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM50 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk program bakul makanan yang memanfaatkan lebih 430,000 keluarga.
Dalam ciapan sama, Yeoh turut bertanya kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun tentang mengapa masjid dan surau di Segambut tidak mendapat sumbangan itu.
“Mana perginya (dana) bakul RM50 juta ini? Kami tak nampak pun di Kuala Lumpur,” katanya, yang turut menanda ahli Parlimen PH di Kuala Lumpur yang lain, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawanga), Lim Lip Eng (Kepong), Teresa Kok (Seputeh) dan P Prabakaran (Batu).
Dalam hantaran Instagram tersebut, Tengku Zafrul berkata program bakul makanan tersebut bukan baru dan dana telah disalurkan kepada KPWKM pada awal tahun ini.
“Minggu ini pula, kerajaan telah melancarkan program Prihatin Kasih bernilai RM100 juta untuk membantu 300,000 keluarga miskin,” katanya semalam.
Merujuk dana RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen untuk program bakul makanan, dia berkata kerajaan tidak “memilih bulu” dalam menyampaikan bantuan dan peruntukan, termasuk kepada ahli Parlimen pembangkang.
Ahli akar umbi Umno Lembah Pantai sebelum ini dilaporkan sedia untuk bertanding di kawasan itu – yang telah dipegang PH selama tiga penggal sebelumnya. Ia di saat timbulnya spekulasi Bersatu akan meletakkan calon di situ.
Awal tahun ini, Ketua Umno Lembah Pantai Ramlan Askolani menolak khabar angin Tengku Zafrul akan menjadi calon di situ.
“(Walaupun) mereka kata kita dah tiga kali kalah. Tetapi sebenarnya kita kalah kerana isu nasional, sedangkan perkhidmatan kita (Umno) mereka (pengundi) rindu,” katanya seperti dipetik The Malaysia Insight.
Sejak diwujudkan pada 1984, kerusi Parlimen Lembah Pantai secara tradisinya disandang Umno sehinggalah PRU12 apabila Nurul Izzah Anwar daripada PKR membuat kemunculan pertama dalam pilihan raya, mengalahkan Shahrizat Abdul Jalil, penyandang kerusi itu selama tiga penggal.
– Malaysiakini