Kumpulan orang kurang upaya (OKU) mengingatkan kerajaan agar tidak melupakan komuniti orang kurang upaya dalam membenarkan sesetengah golongan mendapatkan vaksin tanpa melalui janji temu.
Ini selepas kerajaan membenarkan warga emas berumur 60 tahun ke atas mendapatkan vaksin Covid-19 dengan datang terus (walk in) ke pusat penerimaan vaksin (PPV) tanpa membuat janji temu.
Penerima lain perlu membuat janji temu sebelum menerima suntikan vaksin.
Boleh Space, sebuah kumpulan OKU mengingatkan kerajaan bahawa komuniti OKU, seperti juga warga emas, berada di bawah Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Sangat kecewa kita tidak diberi pilihan yang sama. Bukankah kami termasuk dalam Fasa 2? Kami juga ingin melindungi diri kami” katanya di Twitter.
Kerajaan memberikan keutamaan kepada warga emas, OKU dan individu yang memiliki penyakit kronik dalam program vaksinasi fasa 2 yang bermula April lalu.
Namun, dalam usaha mempercepat vaksinasi di kalangan warga emas, mereka diberi pilihan mendapatkan suntikan tanpa melalui janji temu bermula hari ini.
– Malaysiakini