Sarawak berbangga menjadi negeri yang tidak membenarkan kemasukan pendatang asing tanpa dokumen, tetapi di negeri itu sendiri masih ramai penduduk Pribumi tidak mempunyai kerakyatan.
Ini khususnya membabitkan masyarakat Penan, yang sejak beberapa generasi menghadapi rintangan untuk mendapatkan kewarganegaraan, sesetengahnya disebabkan karenah birokrasi keterlaluan.
Isu ini dirumitkan lagi dengan budaya mereka yang berpindah randah dan ditambah dengan isu kemiskinan; tidak fasih berbahasa Malaysia dan tidak berkemampuan melakukan perjalanan ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bandar.
Masyarakat Penan adalah orang asli nomad yang tinggal di Baram, Belaga dan Ulu Limbang, yang terletak lebih 200km dari Bintulu melalui jalan luar bandar.
Pada tahun 2010, Unit Perancang Negeri menganggarkan 77 peratus masyarakat Penan menetap secara tetap, 20 peratus adalah semi-nomad, manakala tiga peratus adalah nomad.
Mereka yang tinggal di kawasan tengah Sarawak ini tidak memiliki sijil kelahiran, sebarang dokumen pengenalan diri atau MyKad.
Jabatan Hal Ehwal Penan di bawah Unit Perancangan Sarawak mengatakan terdapat 21,367 orang Penan pada tahun 2019.
Namun kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan untuk membuktikan mereka adalah warganegara, apatah lagi menikmati faedah sebagai bumiputera.
Ini meskipun budaya mereka dijadikan komoditi ketika mempromosikan Sarawak dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Berjalan berjam-jam untuk mendaftar
Peng Magut tinggal di Long Tevanga, sebuah kampung di sempadan antara daerah Limbang dan Baram.
Kawasan yang indah ini dikelilingi gunung-ganang dengan cuaca yang dingin.
Bagaimanapun kampung ini tidak mempunyai bekalan elektrik, air apatah lagi sambungan Internet.
Tanpa memiliki kenderaan, untuk Peng dan kebanyakan orang sepertinya perlu mengeluarkan kos yang mahal untuk keluar dari kampung mereka.
Perjalanan tersebut memakan kos kerana tiada bas atau teksi di kawasan itu. Ia memerlukan kos sebanyak RM1,800 bagi menyewa kenderaan empat roda untuk melakukan perjalanan dari Miri ke kawasan dalaman di Baram.
Katanya, bagaikan ‘diutuskan Tuhan’, pasukan petugas dari Unit Khas Bergerak Miri (UKBM) dan JPN datang ke kampungnya untuk membantu Peng mendaftarkan kelahirannya buat pertama kali lebih 10 tahun lalu.
Tetapi selepas itu, dia tidak mendengar sebarang berita mengenai permohonannya.
Peng, yang berusia 40-an, mengemukakan permohonan empat kali dan setelah percubaan pertama 10 tahun lalu, tiga permohonan berikutnya membuatnya terpaksa berjalan selama tiga jam ke kampung-kampung lain di Baram, di mana pendaftaran tersebut dilakukan.
Kali terakhir dia membuat permohonan pendaftaran kelahiran adalah pada tahun 2019 tetapi sehingga kini, dia masih belum diberitahu mengenai status permohonannya.
“Saya pergi ke Long Menging, Long Seridan, Long Lama, Limbang, dan Pa’ Adang. Kami melakukan perjalanan ke tempat-tempat ini dengan berjalan kaki dan setelah semua usaha ini, saya tidak mendengar apa-apa mengenai permohonan saya, ”kata Peng dalam dialek Penan.
“Mereka akan beritahu saya bahawa permohonan saya sedang diproses atau untuk tunggu berita (permohonan).
“Saya hairan setelah 10 tahun, apa yang terjadi dengan permohonan saya. Mereka (JPN) bekerja guna komputer, mereka sepatutnya melakukan kerja itu dengan cepat kerana kami perlukan waktu hingga dua hari untuk mencari makanan jauh dalam hutan, ”kata Peng.
Isterinya, June Along, dan dua anak lelaki mereka, Rudy dan David juga sedang menunggu berita mengenai permohonan mereka.
Walaupun Peng dan seluruh keluarganya tidak membaca atau menulis dalam Bahasa Malaysia, Peng faham pentingnya mendapatkan MyKad mereka.
Lebih-lebih lagi, perkara ini boleh membolehkan mereka menuntut hak atas tanah nenek moyang, selain hak mengundi, mendapatkan pendidikan, penjagaan kesihatan, hak perjalanan dan keperluan asas.
Pupuk kesedaran
Kesedaran Peng ini timbul hasil usaha Jaringan Pemerkasaan Penan Baram (Pena) yang dipimpin Elia Bit, yang mendidik komuniti Penan mengenai isu ini.
“Oleh kerana masalah jarak yang jauh, kewangan dan logistik, banyak daripada mereka memilih untuk tidak mendaftarkan kelahiran mereka.
“Ada yang tidak tahu pentingnya mendaftarkan perkahwinan mereka terutama generasi tua, sehingga membiarkan anak-anak mereka tidak berdokumen atau dilahirkan tanpa kewarganegaraan,” kata Elia yang merupakan orang Penan.
Elia berkata, terdapat kira-kira 200 orang Penan di Baram yang tidak mempunyai kewarganegaraan atau berstatus warganegara yang tidak dikenalpasti.
Terdapat lebih 120 perkampungan Penan di seluruh daerah Baram.
Di perkampungan Long Menging, Long Saliang dan Long Balau, terdapat sekurang-kurangnya 20 orang Penan yang disahkan tidak memiliki kewarganegaraan.
Namun ketua Long Mengin, Kala Konet menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 100 lagi di kawasan Ba ’Magoh yang lebih luas.
Begitu juga, Pengerusi Persatuan Dayak Iban Sarawak cawangan Rajang (Sadia-Rajang) Bill Jugah mengatakan telah mengumpulkan sekitar 200 permohonan pendaftaran kelahiran dari daerah Balai Ringin, Sri Aman dan Mongkos sejak 2016.
“Sebilangan besar permohonan berjaya. Namun, saya tidak ada angka yang tepat kerana mereka tak beritahu saya mengenai status permohonan mereka,”katanya.
Jugah juga mengumpulkan data mengenai individu tanpa kewarganegaraan di sekitar daerah Sibu.
Mereka adalah individu yang dikecualikan daripada “senarai rasmi kerajaan” ketika dia mengagihkan bantuan setelah Covid-19 melanda daerah itu tahun lalu.
Dia mengatakan seramai 180 lagi individu tanpa kewarganegaraan bertemu dengannya pada Oktober lalu.
Pejuang konfrontasi masih tunggu kewarganegaraan
Sementara itu, Di Lawas, sekitar 500km dari Belaga, Basar Arun yang berusia 80 tahun menunggu lebih setengah abad untuk kerajaan meluluskan permohonannya sebagai warganegara.
Walaupun lahir di wilayah Indonesia, Basar memasuki Sarawak melalui sempadan Ba ’Kelalan pada awal 1950-an untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
Ini sebelum Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu membentuk persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Selepas memasuki sempadan, dia secara sukarela menjadi pengawas sempadan dan bertugas sepanjang Konfrontasi dengan Indonesia dari tahun 1963 hingga 1969.
Atas sumbangannya semasa Konfrontasi, Basar dianugerahkan Pingat dari Ratu Elizabeth II.
Dia sebelum ini memegang kad penduduk sementara (MyKas) dan diberi status pemastautin tetap (PR) pada tahun 2013, lima dekad setelah mempertahankan Malaysia dalam Konfrantasi.
Bukan hanya Basar yang menunggu puluhan tahun untuk diakui sebagai warganegara Malaysia, meskipun berbakti kepada negara.
Enam lagi bekas pengawas sempadan lain – Basar Paru, Tabed Raru, Baranabas Palong @ Branabas, Joseph Pengiran, Kedimus Liling, dan Sia Lupang – yang bertugas semasa Konfrontasi turut mengalami nasib sama.
Ketujuh-tujuh mereka bertugas sebagai pengawas sempadan dan membantu angkatan bersenjata memerangi pemberontak di sepanjang kawasan sempadan sehingga tahun 1974. Mereka telah menunggu lebih 30 tahun untuk permohonan mereka diluluskan.
Mereka berulang kali meminta status mereka ditukar dari penduduk tetap (PR) kepada warganegara Malaysia tetapi hingga hari ini, mereka masih tidak dapat melihat sinar di hujung terowong.
Bumiputera kelas kedua
Jugah percaya bahawa tanpa kewarganegaraan menjadikan kumpulan Orang Asal sebagai “bumiputera kelas kedua”, termasuk kaum Iban, Kenyah dan Kayan.
Perkara ini juga menghalang Orang Asal menyesuaikan diri dengan kehidupan lebih moden, sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.
Kala dan Peng berkata, mereka boleh hidup dengan cara tradisional seperti berburu, tetapi masih percaya bahawa penting untuk diiktiraf sebagai warganegara.
“Kami mulai keluar dari hutan dan berusaha menjalani gaya hidup semi-nomad pada awal 1980-an. Sebilangan daripada kami telah menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di luar hutan, tetapi ada yang lebih suka cara hidup lama, ”kata Kala.
Dan ketika mereka berusaha menetap di sesuatu kawasan, mereka diancam oleh orang-orang yang mengaku memiliki tanah di mana mereka berada.
Kala mengatakan terdapat lebih daripada 20 keluarga di Long Menging yang ingin membina rumah yang sesuai untuk didiami, termasuk dia sendiri.
Tetapi kemudiannya dia menerima ancaman daripada keluarga lain dari kampung jiran.
Keluarga berkenaan, dari kumpulan etnik yang berbeza, mendakwa Kala dan orang Penan menduduki tanah mereka.
“Pada mulanya, ada lebih 20 keluarga di sini tetapi kerana ancaman dan gangguan berterusan oleh mereka yang mengaku memiliki hak ke atas tanah itu, majoriti orang saya tidak mempunyai pilihan selain kembali ke hutan. Banyak daripada mereka tidak berdokumen, ”kata Kala.
Bagi organisasi Lawyer Kamek for Change (LK4C), sebuah organisasi bukan berasas keuntungan yang terdiri daripada peguam, ada keperluan mendesak untuk mengetahui berapa banyak penduduk asal Sarawak yang tidak berdokumen .
“Saya percaya kajian menyeluruh mengenai (jumlah individu tanpa kewarganegaraan) atau jawatankuasa siasatan harus dibentuk untuk mengkaji masalah ini,” kata pengarah LK4C, Simon Siah melalui e-mel.
– Malaysiakini