Bayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) fasa satu akan dibayar bermula Isnin ini, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, bayaran secara berperingkat yang bermula 6 September ini dijangka selesai 10 September.
BKC akan memanfaatkan 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40, serta golongan bujang yang berkelayakan.
“Saya mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada Ogos lalu, justeru saya mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC.
“Hari ini, dana berjumlah RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan.
“Proses pengkreditan fasa satu akan bermula pada 6 September 2021 dan dijangka selesai pada 10 September 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
BKC adalah sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.
Kerajaan pada 28 Jun lalu mengumumkan Pakej Pemulih sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid.
Menurut perdana menteri, pembayaran seterusnya akan dilaksanakan mengikut kategori kelayakan dan fasa tertentu.
“Saya sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar’” katanya.
– Malaysiakini