Kes pembunuhan pengawal keselamatan Thava Segayam di Ipoh menjadi satu lagi ujian kepada komitmen perdana menteri baru Ismail Sabri Yaakob, kata Lim Kit Siang.
“Kes pembunuhan pengawal keselamatan, Thava Segayam akan menjadi salah satu lagi ujian kepada komitmen perdana menteri baharu, Ismail Sabri, terhadap kedaulatan undang-undang dan penamatan sistem dua darjat di Malaysia,” kata Lim.
Anggota parlimen Iskandar Puteri juga menyifatkan tindakan polis mengkategorikan semula kes bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas kematian pada 27 Ogos memang berpatutan.
Polis kelmarin mengklasifikasikan semula kes Thava yang diserang ketika bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh, Disember tahun lalu, sebagai kes bunuh.
Tertuduh kini berdepan hukuman gantung sampai mati berbanding, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu kerana mendatangkan kecederaan parah.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap Thava kerana menghalang anak suspek menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.
Bagaimanapun, menurut polis, dia meninggal dunia di rumah Jumaat lalu dan bedah siasat Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru (Sepsis).
Bagaimanapun, ahli keluarga tidak berpuas hati dan mendakwa punca kematian disebabkan kejadian pukul.
Bersatu serah pada polis, mahkamah
Sementara itu, Bersatu semalam dilapor menafikan suspek sebagai Ketua Pemuda Bersatu Kota Bharu sebaliknya hanya anggota biasa yang sudah tidak aktif.
Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap ketua bahagian Bersatu Kota Bharu, Mohamed Farid Mohamed Zawawi juga menyerahkan perkara itu kepada polis dan mahkamah.
Sebelum ini tular dakwaan lelaki itu adalah ketua Pemuda Bersatu Kota Bharu.
– Malaysiakini