Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menafikan dakwaan dia gagal mengetuai PKR dan mengukuhkan parti itu seperti didakwa sesetengah pihak.
Menurut Aminuddin keadaan pandemik Covid-19 sekarang dan kekangan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyukarkan dia mengadakan pertemuan dengan anggota akar umbi PKR sejak beberapa bulan lalu.
“Lagi pun saya masih berhubung dengan mereka. Macam mana saya boleh adakan program kalau kita semua memang tidak dibenarkan berbuat begitu?
“Saya tak nampak ada masalah di sini, bagaimanapun saya akan mengadakan mesyuarat peringkat negeri sebelum akhir bulan ini untuk selesaikan isu berbangkit,” kataya yang dipetik The Star Online hari ini.
Aminuddin merupakan pengerusi PKR Negeri Sembilan. Semalam sekumpulan pemimpin dan anggota akar umbi parti itu menyatakan rasa hilang keyakinan mereka terhadap Adun Sikamat terbabit.
Antara yang membuat kenyataan itu ialah empat Adun iaitu Ismail Ahmad (Labu), M Ravi (Sri Tanjung), Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan) dan Michael Yek Diew Ching (Chuah).
Bagaimanapun Yek kemudian menafikan pembabitannya dalam kenyataan tersebut dan menegaskan isu itu sepatutnya diselesaikan secara dalaman.
Dalam kenyataan bersama itu mereka memaklumkan rasa kecewa terhadap cara Aminuddin menguruskan hal ehwal parti dan mahu agar organisasi PKR Negeri Sembilan dirombak.
Kata Aminuddin PKR tidak melaksanakan sebarang program sejak Mei lalu kerana adanya ancaman Covid-19.
Pakatan Harapan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan membabitkan 11 wakil DAP, enam PKR dan tiga lagi Amanah.
– Malaysiakini