Sejumlah 40,680 kes hilang pekerjaan direkodkan dalam negara setakat bulan Ogos lepas dengan purata 5,811 kes setiap bulan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang memantau trend kes hilang pekerjaan harian bagi memberikan perlindungan kepada para pekerja yang tidak lagi dapat bekerja disebabkan pelbagai alasan.
Katanya menurut Perkeso definasi hilang pekerjaan termasuk pemberhenian kerja, Skim Pemisahan Kerja Sukarela atau Persefahaman Bersama (VSS/MSS), penutupan syarikat disebabkan bencana alam, bankrap, pemberhentian kerja disebabkan oleh gangguan seksual atau ancaman di tempat kerja, serta berhenti selepas diarah melakukan tugas yang berbahaya yang tidak termasuk dalam skop kerja.
“Sebagaimana yang kita ketahui, pandemik COVID-19 bukan hanya memberi kesan kepada aspek kesihatan orang ramai, tetapi turut membawa kejutan ekonomi kepada negara-negara di seluruh dunia.
“Ia susulan langkah yang diambil bagi menghalang penularan virus yang membawa kepada penutupan syaikat, manakala orang ramai hilang pekerjaan atau pekerja terpaksa bekerja dengan perolehan gaji yang dikurangkan,” kataya semasa berucap di majlis perasmian Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF 2021) yang berlangsung secra maya hari ini.
Saravanan berkata sejak Mac tahun lepas kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi meringankan beban orang ramai dan memastikan sektor perniagaan terus beroperasi bagi mengelak pemberhentian kerja besar-besaran, termasuk dengan pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Jun lepas.
Perkeso, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia ditugaskan untuk melaksanakan program-program PEMULIH seperti Program Subsidi Gaji 4.0, PenjanaKerjaya 3.0, KerjayaGig dan SIP Prihatin 2.0, yang disasar kepada majikan, pekerja, pencari kerja serta kerja sendiri.
Sementara itu portal kerja MyFutureJobs sehingga kini merekodkan sejumlah 1.29 juta kekosongan daripada 21 sektor dan sejumlah 564,830 pencari kerja aktif telah mendaftar dengan portal ini dengan 196,471 kejayaan pemadanan kerja direkodkan.
Saravanan berkata forum anjuran Perkeso hari ini perlu digunakan bagi mengukuhkan dan mewujudkan pasaran tenaga kerja yang kukuh dalam negara kerana ia merupakan salah satu komponen penting dalam ekonomi negara.
Forum dua hari IPEF 2021 yang bermula hari ini menampilkan lebih 50 penceramah ternama tempatan dan antarabangsa, dengan tiga acara berlangsung secara serentak – yakni dua simposium maya dan satu pameran mega pekerjaan – bagi membantu membina semula ekonomi dan pasaran kerja pasca COVID-19.
– Bernama