Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat penerbangan helikopter milik pasukan keselamatan itu yang terbang di ruang udara berhampiran Singapura hari ini bagi tujuan penugasan rasmi.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Hazani Ghazali berkata, pihak berkuasa udara Singapura tidak memaklumkan PDRM mengenai sebarang insiden penerbangan yang telah memasuki ruang udara negara berkenaan.
“PDRM mengesahkan bahawa terdapat penerbangan helikopter milik PDRM di ruang udara berhampiran Singapura, bagi tujuan penugasan rasmi.
“Sepanjang penugasan berlangsung sehingga kini, PDRM tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa ruang udara Singapura mengenai sebarang insiden penerbangan helikopter tersebut telah memasuki ruang udara Singapura,” katanya dalam kenyataan.
Hazani berkata demikian selepas pihak polis mengesan sebaran mesej di media sosial yang mendakwa helikopter Malaysia telah menceroboh ruang udara Singapura hari ini.
Semakan di laman web penjejak penerbangan FlightRadar24 mendapati terdapat pesawat Malaysia telah memasuki seketika ruang udara Singapura.
Sebuah laman web berita ketenteraan alert5 mendakwa Singapura telah menerbangkan pesawat F-16 setelah helikopter Malaysia terbang melewati Pulau Tekong.
Hazani, bagaimanapun menafikan terdapat pintasan oleh pesawat F-16 ketika dihubungi oleh portal berita FMT.
– Malaysiakini