Seorang pemimpin DAP menafikan dakwaan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan, kononnya Pakatan Harapan (PH) mengetepikan parti-parti pembangkang lain dalam rundingan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) bersama kerajaan.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke malah menyifatkan dakwaan Khairuddin itu sebagai tidak berasas sama sekali.
Menurut Loke, pimpinan tertinggi PH sudah mengadakan perbincangan dengan semua pimpinan parti pembangkang lain berkenaan proses rundingan dengan Putrajaya.
“Malah, pada petang semalam satu taklimat khas disampaikan oleh pimpinan tertinggi PH kepada Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir berkenaan isi kandungan MOU (memorandum persefahaman) tersebut.
“Wakil parti Warisan juga dijemput untuk taklimat tersebut namun mereka tidak hadir,” katanya.
Tambah Loke, PH dimaklumkan Pejuang dan Warisan belum bersedia untuk menandatangani MOU dengan kerajaan.
“PH menghormati pendirian mereka, namun ia tidak bermaksud kita tidak boleh bekerjasama dalam isu yang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam Khairuddin mendakwa, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan PH mengetepikan parti pembangkang lain dalam rundingan CSA dengan kerajaan.
Sementara itu Loke yang juga anggota Parlimen Seremban berkata, PH akan terus bekerjasama dengan semua ahli parlimen di blok pembangkang termasuk melibatkan wakil Pejuang, Warisan dan bebas dalam jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas baru yang bakal ditubuhkan.
Katanya ia merupakan sebahagian daripada komitmen yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam MOU yang akan ditandatangani petang ini.
– Malaysiakini