Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini melakar satu sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.
Perjanjian itu ditandatangani antara wakil kerajaan dan PH bangunan Parlimen petang ini.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah supaya semua pihak membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap.
Menurutnya, memorandum persefahaman merangkumi bidang berikut:
- Pemerkasaan Pelan Covid-19;
- Transformasi Pentadbiran;
- Pembaharuan Parlimen;
- Kebebasan Institusi Kehakiman;
- Perjanjian Malaysia MA63; dan
- Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Ismail Sabri berkata, Seri Paduka juga bertitah supaya semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.
“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.
“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kerajaan diwakili oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa pada majlis menandatangani perjanjian itu.
Pakatan Harapan pula diwakili oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau dan Timbalan Presiden Upko Donald Peter Mojuntin.
Hadir sama adalah Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Presiden Dewan Negara Rais Yatim.
Ismail Sabri tidak memberikan butiran lanjut bidang yang diliputi tetapi bidang berkenaan dilihat lebih luas daripada apa yang awalnya ditawarkan kepada pembangkang.
Dia pada Jumaat lalu, mengumumkan kabinet bersetuju dengan tujuh pembaharuan institusi.
Tujuh pembaharuan tersebut adalah:
- Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen.
- Pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.
- Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
- Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
- Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
- Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
- Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
Bagaimanapun, rundingan selanjutnya diadakan petang semalam.
PH sebelum ini telah berjanji untuk mendedahkan perincian perjanjian itu.
– Malaysiakini