Di sebalik akan menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini, ini tidak membawa erti bahawa Pakatan Harapan (PH) telah menyertai kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, anggota parlimen PH akan terus duduk di blok pembangkang dan melaksanakan fungsi semak dan imbang atau “check and balance” kepada kerajaan.
“Memorandum persefahaman ini tidak bermaksud PH telah menyertai pihak kerajaan.
“Ahli Parlimen PH akan terus memantau dan mengkritik kelemahan kerajaan serta tetap lantang bersuara untuk kepentingan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook lewat malam tadi.
Loke berkata anggota parlimen PH akan terus memantau dan mengkritik sebarang kelemahan kerajaan serta tetap lantang bersuara untuk kepentingan rakyat.
“Namun, untuk sebarang rang undang-undang dan proses Belanjawan yang perlu dirundingi dan dipersetujui bersama secara dasarnya, pihak kami akan memberikan kerjasama kepada kerajaan.
“Sebagai balasan untuk persefahaman ini, pihak kerajaan pula perlu melaksanakan pelbagai dasar yang membantu rakyat serta membawa pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara serta memperkukuhkan institusi parlimen,” katanya.
Dalam satu kenyataan bersama wakil kerajaan dan PH yang dikeluarkan semalam, kedua-dua pihak bersetuju memuktamadkan memorandum persefahaman untuk mengembalikan kestabilan politik negara bagi menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.
Loke bekata dia berharap rakyat membaca dan mengambil perhatian terhadap dokumen bersejarah berkenaan yang akan ditandatangani di Parlimen pada jam 5 petang hari ini.
“Pada 13 September 2021, jam 5 petang, bertempat di bangunan Parlimen, bakal berlaku satu peristiwa bersejarah dalam politik tanah air dan mungkin menjadi kandungan dalam buku teks sejarah pada masa hadapan.
“Satu memorandum persefahaman akan ditandatangani antara kerajaan dengan parti PH untuk mengembalikan kestabilan politik dan menumpu sepenuh usaha bersama ke arah memerangi Covid-19, memulihkan ekonomi negara dan membawa pembaharuan serta reformasi dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.
Menurut Loke, senarai penuh komitmen kerajaan akan diumumkan selepas memorandum persefahaman itu ditandatangani.
“Sebagai salah satu wakil PH dalam proses rundingan ini, saya berharap persefahaman ini bukan sahaja dapat mengembalikan kestabilan politik buat sementara waktu tetapi juga dapat menyumbang ke arah lanskap politik yang lebih dinamik dan konsultatif serta membudayakan politik dwi-partisan khususnya di Parlimen,” katanya.
– Malaysiakini