Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan suri rumah yang disabitkan kesalahan memperdagangkan seorang wanita warga Indonesia, diikat jamin sebanyak RM20,000 sementara selesai rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun.
Panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan permohonan Lim Li Li untuk dibebaskan dengan jaminan sementara rayuannya didengar pada 12 Okt.
Dalam penghakimannya, Abdul Karim berkata terdapat keadaan khusus untuk membenarkan Lim, 47, diikat jamin.
Bagaimanapun, beliau berkata syarat jaminan itu adalah dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta Lim perlu memberikan alamat tempat tinggal tetapnya selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Dua hakim lain yang bersidang ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk See Mee Chun.
Dalam hujahnya kepada mahkamah, peguam A. Srimurugan, yang mewakili Lim berkata anak guamnya perlu dibenarkan diikat jamin kerana mengalami kemurungan yang teruk di penjara.
Beliau berkata sekatan pergerakan telah dikenakan di negara ini dan tidak ada cara untuk Lim melarikan diri selain tidak mempunyai wang untuk ke luar negara.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Khalid berhujah bahawa tidak ada keadaan khusus untuk memberikan jaminan kepada Lim memandangkan dia (Lim) sedang menjalani rawatan di penjara.
Lim dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kangar pada 2018 setelah didapati bersalah memperdagangkan Ani Maryati, 25, untuk tujuan eksploitasi dengan menggunakan kekerasan dan ancaman.
Dia dituduh mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Lim didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Taman Singgahsana, Padang Besar, Perlis antara November 2017 dan 5 Feb 2018.
Dia juga diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen supaya membayar RM4,000 kepada mangsa dan RM3,000 sebagai kos pendakwaan.
Bagaimanapun, Lim dibenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya ke Mahkamah Tinggi.
Pada 23 April lepas, Mahkamah Tinggi Kangar menolak permohonan rayuan Lim dan mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati dia bersalah atas tuduhan itu dan hukuman penjara.
Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Lim untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan terhadap sabitannya dan hukuman penjara ke Mahkamah Rayuan.
Lim kemudian mengemukakan permohonan jaminan baharu di Mahkamah Rayuan.
– Bernama