Dua lelaki yang menggunakan lori tangki simen untuk mengangkut daun ketum seberat 5.6 tan dari negeri utara ke Kelantan menerima padah setelah diberkas polis di sekatan jalan raya (SJR) Chekok, Tok Uban, Pasir Mas, hari ini.
Lelaki berusia 35 tahun bersama kelindannya berusia 46 tahun ditahan sekitar jam 2.30 pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, pihaknya telah membuat pemerhatian ke atas sebuah lori tangki simen yang ketika itu berada dalam keadaan mencurigkan selama sejam di jalan Tanah Merah-Machang.
“Pihak kami mengekori lori berkenaan sebelum menahannya di SJR Chekok dan pemeriksaan telah dibuat terhadap kenderaan serta kedua-dua lelaki terbabit namun tidak menjumpai apa-apa barang yang salah.
“Hasil soal siasat, polis menjumpai bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum yang diletakkan di bahagian belakang lori,” katanya.
Menurut Shafien, pihaknya telah merampas kesemua 5.6 metrik tan daun ketum terbabit yang dianggarkan bernilai RM200,000 serta sebuah lori tangki simen jenis Volvo.
“Kesemua hasil rampasan dan suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan lanjut, kesemua daun ketum tersebut dibawa dari negeri sebelah utara untuk diseludup ke negara jiran kerana mendapat permintaan tinggi,” katanya lagi.
Untuk rekod, Thailand menghalalkan penggunaan ketum bagi tujuan perubatan pada hujung Ogos lalu.
Di negara tetanga itu, ketum telah diklasifikasikan semula sebagai herba yang dapat ditanam secara sah dan digunakan di bawah undang-undang narkotik yang baru saja diubah.
Dalam pada itu, Shafien berkata siasatan susulan mendapati, lori tersebut baru sebulan dibeli suspek dan menggunakannya sebagai kenderaan pengangkut dengan upah RM3000 untuk satu perjalanan.
Jelasnya, hasil ujian air kencing ke atas dua suspek berkenaan mendapati pemandu lori tersebut positif dadah jenis morfin manakala kelindannya mempunyai rekod jenayah lampau.
“Penggunaan lori tangki simen untuk mengangkut daun ketum merupakan modus operandi baru dan kami yakin, kawasan Pasir Mas telah dijadikan lokasi transit sebelum melalui jalan sungai yang tidak diwartakan.
“Dua suspek berkenaan telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
– Malaysiakini