Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) kini dikongsi di laman web parlimen.
Perkara 6 dari dokumen setebal 17 halaman itu menetapkan bahawa dokumen tersebut harus didedahkan kepada orang ramai.
Dalam dokumen itu, kerajaan menjanjikan sejumlah reformasi dalam jangka waktu tertentu.
Sebagai balasannya, PH – blok pembangkang terbesar – berjanji untuk tidak menggunakan undi mereka menggulingkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atau menyekat Belanjawan 2022, jika pembaharuan dilaksanakan mengikut jadual dan mereka dilibatkan dalam perbincangan mengenai RUU Belanjawan.
PH mengatakan mereka bagaimanapun akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang.
Kerajaan juga berjanji untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.
Untuk melihat secara terperinci mengenai janji yang dimuatkan dalam MOU itu, sila rujuk panduan Malaysiakini di sini.
Ismail Sabri dispekulasikan telah meminta perjanjian kepercayaan dan bekalan dengan PH untuk melindungi dirinya dari tekanan dalaman.
Pendahulunya, Muhyiddin Yassin terpaksa mengundurkan diri bulan lalu setelah 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya.
– Malaysiakini