Satu lagi projek penambakan tanah secara besar-besaran sedang dijalankan di Pulau Pinang, kali ini melibatkan kawasan seluas 400 hektar di perairan yang selari dengan Pelabuhan Pulau Pinang.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam mengumumkan sedang meneliti laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek berkenaan yang akan diperluas dari Bagan Ajam hingga Teluk Air Tawar di Butterworth.
Ia dilakukan kurang daripada seminggu setelah pihak berkuasa menarik balik kelulusan untuk laporan EIA projek tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI), yang juga merupakan rancangan penambakan secara besar-besaran, berikutan protes masyarakat terhadap kesan terhadap kawasan perikanan dan kehidupan nelayan di Pulau Pinang.
Menurut laporan yang diterbitkan semalam, syarikat Rayston Consortium (Butterworth) Sdn Bhd yang berpusat di Kuala Lumpur disenaraikan sebagai pelaksana projek tersebut.
Ia menyatakan tapak seluas 407 hektar diperuntukkan untuk projek pembangunan campuran. Cadangan itu juga merangkumi penambakan seluas 11.4 hektar sebagai laluan kaki dan pembinaan kawasan pantai berpasir seluas 25 hektar.
Jumlah pasir yang diperlukan untuk projek penambakan itu dihitung mencapai 41 juta meter padu, di mana syarikat itu merancang untuk mendapatkan pasir laut dari bahagian pesisir utara Perak.
Chemsain Konsultant Sdn Bhd, perunding EIA yang dilantik oleh Rayston, menyenaraikan sejumlah kemungkinan kesan yang akan timbul daripada projek ini terhadap alam sekitar dan mencadangkan beberapa kaedah untuk mengurangkan risiko.
Ini termasuk risiko endapan sedimen dan air keruh yang akan menjejaskan perikanan dan mengusir hidupan laut dari kawasan itu.
Ia juga menyatakan projek itu akan memberi kesan sosio-ekonomi terhadap pendapatan nelayan dan pengeluaran oleh perusahaan kecil dan restoran tempatan.
“Semua langkah mitigasi yang ada untuk pengendalian mutu air laut harus diikuti; dan kapal yang terlibat dalam projek ini harus memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Konvensyen Antarabangsa untuk Pencegahan Pencemaran dari Kapal.
“Pelaksana projek juga harus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk menyusun rancangan yang akan menguntungkan masyarakat dan melindungi alam sekitar,” kata laporan itu.
Laporan EIA diterbitkan hingga 12 Okt
Dalam pengumumannya semalam, JAS mengajak orang ramai untuk memberikan maklum balas mengenai laporan EIA yang akan terus diterbitkan sehingga 12 Oktober.
“Orang ramai dijemput untuk memberikan komen dengan mengirimkan maklum balas berdasarkan kajian mereka terhadap laporan EIA dalam jangka waktu yang telah ditetapkan,” katanya.
Pautan ke halaman di mana orang ramai boleh menghantar maklum balas mereka boleh diakses di sini.
Pada 8 September, lembaga rayuan JAS membatalkan kelulusan bagi laporan EIA projek Pulau Pinang Selatan(PSI).
Ini selepas rayuan pemimpin komuniti nelayan, Zakaria Ismail diluluskan.
Projek ini dirancang dibangunkan di sebelah selatan pulau Pulau Pinang dan melibatkan penambakan semula tiga pulau buatan untuk membina zon industri, tarikan pelancongan, pusat pendidikan dan projek perumahan, termasuk perumahan mampu milik.
Pulau-pulau itu adalah seluas 1.821 hektar yang bersamaan dengan ukuran sekitar 2,550 padang bola.
– Malaysiakini