Transparency International Malaysia (TI-M) tidak puas hati apabila tiga bidang pembaharuan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) tiada dalam Memorandum Persefahaman (MOU) kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
“Kami mengharapkan bahawa niat dan iktikad baik para penggubal undang-undang dari kedua-dua belah pihak akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang melalui sistem perundangan yang jelas dan juga kemahuan politik yang sebenarnya.
“Kami juga kecewa kerana tiga bidang pembaharuan utama yang telah diketengahkan dalam NACP dan pelbagai kenyataan dari ahli Parlimen dan NGO, dalam beberapa bulan terakhir ini, tidak terkandung dalam MOU,” kata presidennya, Muhammad Mohan.
Katanya, ketiga-tiga bidang utama tersebut adalah akta pembiayaan politik, pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya serta meletakkan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bawah bidang kuasa parlimen.
“Akta pembiayaan politik, rang undang-undang tersebut telah disiapkan tetapi mengapa nampaknya ada kurangnya inisiatif dan kemahuan politik dari kedua-dua pihak untuk menjayakannya?
“Pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya supaya tidak berlakunya salah guna kuasa dan mengurangkan konflik berkepentingan,” katanya pemimpin badan antirasuah itu.
Bagaimanapun Muhammad memuji MOU yang ditandatangani pada 13 September lalu untuk membantu proses memulihkan ekonomi dan reformasi parlimen di Malaysia.
– Malaysiakini